Thursday 7 December 2017

Pemuda Umno Gesa Usno Beri Peluang Muka Baharu Bertanding #PAU2017


KUALA LUMPUR: Pemuda Umno mendesak pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang menjadi wakil rakyat lebih 3 penggal meletak jawatan dan menolak tawaran dicalonkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Exco Pemuda Umno, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sedar atau tidak, sudah 10 tahun Pemuda Umno Sabah tidak dicalonkan pada PRU.

“Cukup-cukup sudah. Kami cabar mana-mana adun, ahli Parlimen yang sudah memegang jawatan lebih daripada 3 penggal, tulis surat kepada pengerusi perhubungan dan presiden untuk beri ruang kepada anak muda.

“Ini jawatan bukan mak bapak kita punya, tetapi Umno punya,” katanya pada sesi perbahasan di Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Ketua Pemuda Umno bahagian Batu Sapi itu berkata, hampir 70% pemimpin Sabah berasal daripada Usno.

“Parti Usno memerintah pada 1970-an lagi. Tetapi (sekarang) sudah 2017, mereka masih memimpin, berbicara soal perjuangan yang masih belum selesai, mana logiknya?

“Apabila keadaan ini berlaku, wujud sindrom. Banyak pemimpin Sabah kuat bekerja. Kalau boleh dia mahu buat kerja sehingga 90 tahun. Sindrom kuat kerja, tidak boleh duduk di rumah, pagi dan malam terus bekerja.

“Apabila sindrom ini berlaku, sudah 10 tahun tidak ada calon Parlimen dari Pemuda Sabah di bawah Umno. Mana maruah, muka kita? Sampahkah kita?”

Khairul berkata, bukan pemimpin di Sabah yang hebat, sebaliknya mereka mendapat sokongan rakyat kerana Umno.

“Cerita yang kata Datuk Seri Shafie Apdal ini hebat adalah tidak benar, yang hebat adalah Umno yang mengangkat rakyat,” katanya. - FMT

0 comments:

Post a Comment