Saturday 2 December 2017

PERDA Bina Lebih Banyak Rumah Rakyat


TASEK GELUGOR: Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bakal melaksanakan lebih banyak Projek Perumahan Kesejahteraan Rakyat (PPKR), bagi membantu penduduk di negeri itu memiliki kediaman sendiri.

Pengerusinya, Datuk Shabuddin Yahaya, berkata PERDA sedang mengenal pasti lebih banyak kawasan lain, selain bercadang membeli tanah sekiranya menerima peruntukan tambahan daripada Kerajaan Pusat.

"Sekarang PERDA banyak menumpukan pembangunan di kawasan Seberang Perai Utara kerana kita mempunyai banyak tanah dan peluang di sini.

"Kita juga sedar ada permintaan daripada rakyat yang mahu PPKR ini dilaksanakan di daerah lain, namun ia semua bergantung kepada peruntukan yang diberi Kerajaan Persekutuan. Jika ada peruntukan tambahan, kita akan buat pembelian tanah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.



Terdahulu, Shabuddin menghadiri Majlis Penyerahan Kunci kepada Hasnah Hassan, 68, selepas kediamannya di Permatang Buloh di sini, musnah dalam kebakaran pada 15 November lalu.

Hasnah yang mempunyai enam anak diberikan rumah bernilai RM42,000 di Taman Desa Rakyat di sini, di bawah skim PPKR.

PPKR menyediakan skim sewa beli dengan kadar sewa antara RM80 hingga RM120 sebulan, dengan pemilikan penuh kepada penyewanya selepas tempoh 15 tahun.

Sementara itu, Hasnah berkata, beliau bersyukur dan bertuah apabila terpilih sebagai penerima kediaman PPKR.

"Selepas tragedi kebakaran itu, kami sekeluarga hanya menumpang di sebuah rumah inap desa berdekatan selama dua minggu.

"Syukur kerana Tuhan makbulkan hasrat memiliki rumah semula. Kalau tidak, saya tidak tahu bagaimana nasib keluarga kami," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment