Thursday 7 December 2017

Perhimpunan Agung UMNO Bukan Pesta Keraian, Tapi Manifestasi Perjuangan Untuk Islam, Bangsa Dan Negara #PAU2017


KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli dan para perwakilan bahawa perhimpunan Agung UMNO bukanlah satu pesta keraian sebaliknya ia merupakan satu perhimpunan yang memperlihatkan manifestasi perpaduan dan solidariti perjuangan serta  tanggungjawab parti sejak sekian lama untuk membela Islam, bangsa Melayu dan negara, tanpa mengenepikan hak-hak kaum dan agama lain yang ada di negara ini.

Menurut beliau, biarpun UMNO hari ini sedang melalui satu cabaran yang hebat dan berdepan bukan hanya dengan pembangkang yang azali, tetapi juga turut berdepan dengan bekas-bekas pemimpin UMNO yang kini berada di kem pembangkang, namun UMNO tetap kukuh dan kekal sebagai sebuah parti siasah Melayu yang terbesar di negara ini.

Berikut adalah transkrip soal jawab eksklusif oleh wartawan UMNO Online, Wan Hafiz Hamzah bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung Perhimpunan Agung UMNO 2017 kali ini, yang dianggap sebagai perhimpunan yang amat penting dan terakhir sebelum menghadapi PRU ke-14 tidak lama lagi.

Soalan: Bagaimana Datuk Seri melihat hala tuju dalam perhimpunan agung UMNO kali ini, memandangkan UMNO kini terpaksa berdepan bukan hanya dengan pihak pembangkang yang azali, tetapi terpaksa berdepan dengan serangan beberapa bekas pemimpin UMNO itu sendiri yang kini berada di kem pembangkang?

DSZH : Di dalam sejarah UMNO yang panjang, parti ini telah mengalami banyak kali peristiwa di mana bekas pemimpin UMNO sendiri menikam parti ini dari belakang. Sebagaimana kita tahu, isu pemimpin keluar dari UMNO bukanlah satu perkara yang baru.

Ketika UMNO mula-mula ditubuhkan, parti ini juga telah melihat bagaimana pengasas UMNO itu sendiri, iaitu Dato Onn Jaafar juga telah mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO, kerana ideanya untuk membuka UMNO kepada semua kaum tidak diterima oleh ahli-ahli parti,  biarpun beliau merupakan pengasas kepada parti ini.

Dan kita tahu bahawa Presiden UMNO yang kedua, Tunku Abdul Rahman juga bertindak meninggalkan parti ekoran berlakunya konflik beliau dengan Dr Mahathir ketika itu.

UMNO juga mengalami perpecahan sehingga menimbulkan parti-parti serpihan seperti Pas, apabila Pengerusi Badan Agama UMNO,Haji Ahmad Fuad Hassan, yang bertindak keluar parti dan menubuhkan Pas. Begitu juga dengan kewujudan Semangat 46, yang mana ramai tokoh-tokoh pemimpin UMNO yang menyertai parti tersebut apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988.

Begitu juga pada tahun 1998, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan satu parti politik baru, Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila beliau dipecat daripada UMNO pada waktu itu. Dan parti terbaru yang menjadi parti serpihan UMNO ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), apabila Dr Mahathir menubuhkan parti tersebut ekoran beberapa hasrat peribadi beliau tidak dipenuhi oleh pucuk pimpinan parti.

Jadi dalam isu ini, ia bukanlah sesuatu yang baru untuk UMNO bagi menghadapi serangan demi serangan daripada beberapa pemimpin UMNO yang yang jelas kecewa, dan akhirnya bertindak menikam UMNO dari belakang kerana matlamat peribadi yang tidak tertunai.

Biarpun begitu, Alhamdulillah UMNO masih lagi utuh selama 71 tahun, bermula daripada penubuhannya sehinggalah ke hari ini. Malah, UMNO juga terus diperkasakan kerana menyedari hakikat bahawa pemimpin itu datang dan pergi. Bagi yang pergi, biarlah ia berlalu.

Tetapi pokoknya, sesiapa saja yang memimpin UMNO baik di peringkat akar umbi dan juga pucuk pimpinan teratas hari ini, keutamaan mereka adalah untuk memperkukuhkan dan memperkasakan UMNO itu sendiri.

Soalan: Dalam perhimpunan agung yang terakhir sebelum menjelang PRU ke 14, pada pandangan Datuk Seri apakah perkara yang perlu ditekan oleh pembahas-pembahas pada perhimpunan kali ini.

DSZH : Apa yang harus ditekankan oleh pembahas pada perhimpunan kali ini ialah tentang soal perpaduan di kalangan kita. Setiap kali perhimpunan agung, perkara itulah yang seringkali dilontarkan oleh para pembahas dan juga kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Bagaimanapun, perpaduan di kalangan ahli, kepimpinan diperingkat akar umbi dan juga pucuk pimpinan hari ini saya lihat begitu mantap. Mungkin ada satu dua permasalahan dalaman yang berlaku, tetapi ia tidak melibatkan diperingkat negeri mahupun pusat. Permasalahan itu juga hanyalah berpunca daripada isu pertandingan yang lepas, di mana yang menang menekan yang kalah.

Bagi saya, mana-mana organisasi politik baik di dalam mahupun di luar negara, perkara seperti itu adalah lumrah bagi sebuah organisasi siasah seperti ini. Tetapi kita harus mengakui hakikat bahawa yang kalah tidak hilang semua dan kita menetapkan bahawa saf kepimpinan yang ada itu haruslah terus dimantap dan diperkasakan.

Soalan : Pada pandangan Datuk Seri apa mesej yang harus disampaikan oleh para perwakilan ke peringkat akar umbi apabila selesai perhimpunan Agung UMNO pada kali ini untuk berhadapan dengan PRU ke 14 akan datang?

DSZH : Saya yakin, semua perwakilan dan ahli UMNO tahu bahawa ini adalah merupakan perhimpunan terakhir sebelum kita semua menghadapi PRU ke 14 yang akan datang. Saya yakin mereka cukup faham kerana perwakilan yang hadir ini juga terlibat di dalam jentera kempen UMNO dan Barisan Nasional.

Pada hemat saya, kedatangan para perwakilan dan pemerhati kali ini agak luar biasa. Kita akan pastikan bahawa semua ketua-ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri dapat terus menggalakkan mereka untuk mendengar ke semua perbahasan, baik di peringkat sayap dan juga dalam perhimpunan Agung ini, agar mereka dapat menyampaikan amanat dan mesej di dalam perhimpunan ini ke peringkat akar umbi.

Saya merasakan, keberadaan ahli dan kepimpinan UMNO akar umbi di PWTC kali ini bukan sahaja akan bertambah jumlahnya, tetapi ianya akan dapat dilihat daripada segi kebersamaan dan solidariti mereka di dalam perhimpunan ini.

Apa yang penting ialah,perhimpunan agung ini bukanlah sebuah pesta keraian, tetapi perhimpunan ini merupakan satu manifestasi perpaduan dan solidariti yang dilukiskan untuk diperlihatkan kepada orang Melayu dan rakyat di negara ini, bahawa UMNO akan terus mendokong perjuangan orang Melayu tanpa mengenepikan kaum dan agama yang lain.

Soalan : Apa harapan dan pesanan Datuk Seri kepada para perwakilan yang hadir dalam perhimpunan kali ini?

DSZH : Saya tidak mempunyai pesanan secara khusus untuk para perwakilan yang hadir kali ini, tetapi kita mesti menanamkan dalam diri kita bahawa perhimpunan ini bukan hanya dihadiri oleh orang-orang UMNO, bukan hanya diperhatikan oleh orang-orang Melayu sahaja dan bukan hanya diteliti oleh rakyat Malaysia, tetapi ianya juga turut dipantau oleh negara-negara jiran dan juga masyarakat antarabangsa.

Ini kerana menang dan gagalnya, mundur atau jayanya sesebuah organisasi politik adalah berkisar kepada kejayaannya di dalam pilihanraya. Kita mesti memberikan gambaran bahawa UMNO terus bertapak kukuh di bumi Malaysia ini dan tanggungjawab kita sebagai ahli biasa dan kepimpinan di peringkat mana sekalipun, adalah untuk memastikan UMNO dan BN dapat mencapai kemenangan yang lebih besar daripada sebelum ini.

Kita mesti ingat, UMNO pernah terlantar hampir tidak kebah dalam PRU ke 12 sebelum ini dan pesana saya agar jangan kita terus diasak ke dinding pada PRU akan datang ini. Namun saya yakin, semangat dan iltizam ahli serta kepimpinan UMNO telah pun berubah dan segala-galanya terpulanglah kepada kita untuk mengekalkan daya tahan yang ada setelah diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang tempoh ini.

Justeru itu, kita harus meletakkan noktah kepada sebarang permasalahan yang ada, melupakan sebarang persengketaan yang berlaku serta memberikan tumpuan dan keutamaan kepada perpaduan parti, agar kita dapat meraih kejayaan yang lebih besar pada PRU ke 14 nanti, InsyaAllah.

0 comments:

Post a Comment