Wednesday 20 December 2017

Stadium Mini Hadiah BN Kepada Warga Tasek Gelugor

 

TASEK GELUGOR - Penduduk di kawasan Parlimen Tasek Gelugor mampu mengukir senyuman apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menawarkan pembinaan sebuah stadium mini di kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Shabudin Yahaya berkata, lokasi cadangan stadium mini tersebut adalah di kawasan Desa Puri dekat sini bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai sebuah bandar baharu dalam jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurutnya, cadangan kawasan tersebut timbul daripada permintaan penduduk di kawasan itu memandangkan mereka tidak memiliki kawasan untuk menjalankan aktiviti riadah.

“Pembinaan stadium mini itu yang akan dijangka dimulakan awal tahun hadapan di atas tanah berkeluasan dua hektar itu diyakini melengkapkan keperluan penduduk di situ menjalankan aktiviti riadah.

“Stadium mini ini dijadualkan siap pada 2019 yang memberi manfaat kepada penduduk dan ini bukti bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan hak kita. Ini hadiah Barisan Nasional kepada kita,” katanya kepada pemberita di sini semalam.


Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan uniform sekolah, beg dan kasut bernilai RM150 setiap satu kepada 1,000 murid yang merupakan anak-anak polis dan bomba dalam Program Penyerahan Bantuan Persekolahan ‘Happy 2 School’ hasil sumbangan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M).

Selain pembinaan stadium mini, kata Shabudin, Kerajaan Persekutuan di bawah Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) telah meluluskan sebanyak RM13 juta untuk pembinaan dewan di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

“Dewan yang dibina berdekatan Midtown Perda, Kubang Menerong boleh memuatkan sekurang-kurangnya 1,500 orang yang mana telah siap 60 peratus dan dijangka selesai Jun 2018.

“Buat masa ini kita mempunyai sebuah dewan tertutup dan dua dewan terbuka memuatkan 3,000 orang tetapi dengan adanya dewan baharu ini nanti akan lebih memajukan kawasan tersebut,” jelasnya.

Pada masa sama jelas Shabudin, pihaknya juga telah berbincang dengan Pos Malaysia untuk mendirikan sebuah pejabat pos di kawasan Teluk Ayer Tawar bagi kemudahan penduduk di kawasan berkenaan. - utusan online

0 comments:

Post a Comment