Sunday 3 December 2017

Surau, Masjid Boleh Di Guna Tempatkan Mangsa Banjir


KEPALA BATAS: Penggunaan masjid dan surau sebagai pusat penempatan sementara untuk mangsa banjir berbilang kaum dan agama adalah dibenarkan mengikut peraturan 'Fiqh Banjir'.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Zainal Abidin Jaffar, berkata 'fiqh banjir' atau 'fiqah banjir' adalah peraturan dan adab yang perlu dipatuhi mangsa banjir.

Katanya, mereka perlu mematuhi peraturan dan adab sepanjang menginap sementara di masjid dan surau khususnya bagi yang bukan Islam.

Beliau berkata, adab itu diperkenalkan dan digunapakai ketika banjir besar di Pulau Pinang pada 4 dan 5 November lalu.

"Kita menggunakan adab ini supaya sesiapa sahaja yang menginap di rumah ibadat Islam perlu mengikut segala peraturan yang ditetapkan tanpa menimbulkan suasana tidak baik.

"Ia termasuklah menjaga tingkah laku dan berkelakuan sopan. Kita faham ada yang mahu menjadikan masjid dan surau sebagai pusat penempatan kerana dekat dengan rumah, sekali gus dapat memantau kediaman bagi mengelak kes kecurian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Musibah Banjir kepada Masjid dan Surau bagi Kedah serta Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebanyak 10 masjid dan tiga surau yang terjejas di kedua-dua negeri itu akibat banjir baru-baru ini, menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Majlis sumbangan berkenaan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Zainal Abidin meminta semua kariah memberi kerjasama dengan membenarkan mangsa banjir, tidak mengira agama dan kaum menginap sementara di surau dan masjid sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing.

"Adab ini sedang digunakan kepada mangsa banjir di Kelantan dan akan dipraktikkan setiap kali kita berdepan musibah itu pada masa akan datang," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment