Thursday, 7 December 2017

Syor Kuota Pekerjaan Untuk Graduan Wanita #PAU2017


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperuntukkan kuota pekerjaan kepada golongan wanita terutama dalam sektor berimpak tinggi bagi menangani isu lambakan graduan.

Penolong Setiausaha Wanita UMNO Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman, berkata kerajaan boleh meletakkan syarat kepada agensi awam atau swasta bagi memberi peratus tertentu kepada golongan wanita.

Menyokong usul ekonomi yang dibentangkan Ketua Wanita UMNO Pengkalan Chepa, Kelantan, Zarina Md Eusope, Nor Hafizah berhujah golongan wanita yang memegang jawatan tertinggi dalam bidang berimpak tinggi adalah sangat kurang.

"Di Pulau Pinang, kebiasaannya jawatan tertinggi dalam industri hanya satu atau dua tempat diberikan kepada wanita. Graduan wanita yang berkelulusan tinggi wajar ditempatkan dalam jawatan yang didominasi golongan lelaki.

"Secara realitinya, pembabitan wanita dalam syarikat dan perniagaan berskala besar, biarpun graduan bidang tenaga mahir dan kepakaran sudah banyak diceburi oleh wanita," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Nor Hafizah turut berhujah, hanya 14 peratus daripada 19,000 syarikat yang berdaftar dengan MATRADE adalah pengeksport wanita.

"Walaupun agensi berkenaan menyediakan bantuan dan bimbingan khas kepada usahawan tempatan, mereka diharap dapat merealisasikan idea pembangunan usahawan wanita," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment