Wednesday 6 December 2017

Tolak Nostalgia Dongeng Zaman Dr Mahathir


KUALA LUMPUR: Rakyat perlu menolak sama sekali nostalgia dongeng yang dijaja bagi menggambarkan bahawa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad adalah lebih baik daripada sekarang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, berkata penolakan itu wajar kerana harapan palsu yang menyasar dari segi logik, direka hanya demi kemenangan politik dan bakal mengorbankan masa depan generasi akan datang.

"Dewasa ini, rakyat Malaysia sering dimomok-momokkan dengan nostalgia dongeng. Tidak salah kita mengimbau semula kenangan semalam.

"Tetapi bahayanya apabila kita dijamu nostalgia yang diubah, ditokok tambah, sehingga lebih sudu dari kuah, nostalgia mimpi di siang hari, tersasar jauh dari realiti, memori yang sengaja diolah semula supaya menyimpang dari kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO bertajuk 'Nostalgia Dongeng, Harapan Palsu, Transformasi Sebenar' sempena Perhimpunan Agung UMNO Pergerakan Pemuda UMNO 2017 di sini, sebentar tadi.

Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), menjelaskan nostalgia dongeng itu begitu bahaya, malah dalam konteks politik ia boleh membawa bencana.

"Kerana kita boleh terbawa-bawa bukan dengan realiti, tetapi satu fatamorgana sejarah yang mengaburi mata bahawa tahun 80-an dan 90-an dahulu, indah serba serbi.

"Nostalgia dongeng ini perlu ditangkis dan ditentang kerana ia memberikan gambaran seolah-olah keadaan yang terdahulu lebih baik daripada sekarang," katanya.

Justeru, atas sebab itu beliau berkata rekod lama mesti dikaji semula supaya sejarah lalu boleh difahami, supaya kesimpulan mudah tidak dibuat oleh pengundi muda pada hari ini.

"Ini agar pengundi muda tidak begitu mudah membuat 'logical reasoning' atau penaakulan mantik bahawa - dulu zaman Mahathir dan kini zaman Najib.

"Zaman dahulu lebih baik daripada zaman sekarang. Bermakna Dr Mahathir lebih baik daripada Najib. Justeru, kita undi parti Dr Mahathir. Penaakulan mantik sedemikian yang perlu kita perjelas dan hapuskan," katanya.

Khairy juga membangkitkan skandal dan perjanjian berat sebelah yang diamalkan ketika zaman Dr Mahathir di mana kesannya dirasai sehingga sekarang.

Katanya, banyak syarikat besar yang hampir bungkus diselamatkan dan penyelesaiannya adalah dengan menggunakan duit rakyat.

"Konsortium Perkapalan Berhad milik Mirzan (Mahathir), bila dilanda krisis, Petronas melalui MISC yang selamatkan. RM1.7 bilion duit siapa? Duit kita, duit rakyat juga.

"Bank Negara (Malaysia) rugi tukaran asing lebih RM31 billion, kita lupa? Perwaja Steel rugi RM10 billion, pun kita lupa? PKFZ ( Zon Bebas Pelabuhan Klang) rugi RM4.6 billion, kita lupa juga? Belum kira BioTech Valley, konon nak tarik pelabur dan pelaburan, tapi apa yang terjadi sasaran pelaburan RM1 bilion sepi tanpa berita.

"Belum lagi cerita tentang e-Village, konon nak bina Studio Hollywood Asia, tapi selepas bagi peruntukan lebih RM2 bilion, habuk pun tiada," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment