Thursday, 28 December 2017

Tolak Projek Mega Tambak Laut


BALIK PULAU: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini, secara peribadi membantah dan menolak projek mega tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang, yang dirancang kerajaan negeri.

Wan Junaidi berkata, projek bagi membentuk tiga pulau buatan dengan keluasan lebih 2,600 hektar itu akan memberi kesan dan risiko besar terhadap alam semula jadi serta komuniti nelayan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan bersikap adil dengan menilai keseluruhan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), serta laporan terperinci daripada pihak terbabit, sebelum keputusan dibuat.

"Dalam hal projek mega ini, saya amat bimbang dengan nasib nelayan yang akan menjadi mangsa utama, kerana ini adalah kawasan laut yang memberi pendapatan kepada mereka.

"Bagi saya juga, projek ini bukan sekadar membina pulau buatan, tetapi ia juga membina 'coast line' baharu Pulau Pinang, yang sekali gus akan mengubah peta negara.

"Kita khuatir kerana projek ini membabitkan pembinaan di lautan luas dan ia dilihat dibina terlalu hampir dengan sempadan laut antarabangsa, yang akan menyebabkan kita bermasalah dengan Indonesia," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Bersama Nelayan di Sungai Batu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, ketika ini Kerajaan Pusat sedang mengkaji menubuhkan Majlis Pembangunan Fizikal Negara yang akan berfungsi mengawal dan menghukum pemaju yang gagal mematuhi syarat ditetapkan.

Katanya, rancangan penubuhan Majlis Pembangunan Fizikal Negara dijangka akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat tahun hadapan.

"Walaupun kita tidak luluskan, dan kerajaan negeri masih teruskan projek ini, menerusi Majlis Pembangunan Fizikal Negara, pemaju boleh dianggap sebagai melanggar peraturan dan boleh dihukum. Ini yang kita sedang kaji untuk laksanakan," katanya.

0 comments:

Post a Comment