Wednesday 6 December 2017

Transformasi, Solidariti, Persediaan Parti Amanat Pemuda


TRANSFORMASI, solidariti dan persediaan parti menjadi tiga intipati penting amanat ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada perwakilan Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Mengingatkan mereka supaya tidak terikut-ikut dengan emosi untuk mencuba yang baru dan mengetepikan nikmat dikecapi sejak sekian lama, beliau berkata, transformasi kerajaan, ekonomi dan politik sudah berjalan dengan baik dan ia akan dilengkapkan dengan transformasi sosial bagi memastikan generasi depan tidak ketinggalan.

Katanya, persediaan parti selepas ini perlulah lebih pantas dan secara terus tanpa sebarang kiasan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) nanti.

"Nikmat kita hari ini adalah transformasi sebenar yang dilaksana, bukan janji manis palsu yang dijaja. Itulah nikmat dalam realiti sejati. Jangan kerana terikut ikut emosi, kita pangkah undi semata-mata nak mencuba yang baru.

" Kita sudah tawarkan diri sebagai kerajaan masa depan melalui TN50. Maka kita juga perlu tawarkan diri sebagai parti masa depan. Kita perlu yakinkan rakyat bahawa UMNO adalah 'a party of the future', dan bukan lagi parti semalam. Namun, bagaimana nak buktikan UMNO parti masa hadapan.

"Tunjukkan UMNO yang segar dari segi pemikiran, UMNO yang segar dari segi pendekatan, UMNO yang segar dari segi tawaran kita untuk Melayu maju seperti dibawa UMNO Johor. Namun bukti yang paling senang dan nyata, segar dari segi rupa bentuk calon yang akan kita bariskan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2017.

Khairy turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memandang mudah cabaran dibawa parti serpihan yang keluar daripada UMNO.

Katanya, walaupun yakin UMNO lebih kuat dan hebat, mereka (pembangkang) juga meraih sokongan daripada kelompok yang sama,justeru ahli UMNO perlu mempunyai solidariti kepada parti.

Pemuda UMNO turut mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan selain memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kedua-dua pemimpin itu bagi memastikan fokus kepada kemenangan pada PRU-14.

Menteri Belia dan Sukan itu juga menarik perhatian perwakilan ketika ucapannya apabila beliau meminta maaf kepada semua ahli parti dan rakyat Malaysia serta mengakui kelemahan yang ada selama ini.

"Namun, di sebalik kejayaan kita selama ini, saya akui, kami juga tidak sempurna,ada khilaf dan cacat celanya. Kerana itulah lumrah manusia, tidak lari dari salah dan dosa. Dan untuk itu, saya mohon ampun dan maaf di atas segala salah dan silap kami.

"Namun, apabila rakyat menilai keseluruhan rekod pentadbiran sedia ada, mereka akan menyedari bahawa lebih banyak baik dari buruknya.

“Janganlah membiarkan satu dua kekurangan mengaburi segala kejayaan yang dikecapi," katanya. - Harian Metro

0 comments:

Post a Comment