Thursday 21 December 2017

UMNO, BN Perlu Tawar Pakej Hebat Tarik Sokongan Pengundi Muda


KUALA LUMPUR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menyediakan tawaran pakej hebat untuk rakyat terutama golongan pengundi muda bagi memastikan pentadbiran negara di bawahnya terus kekal relevan pada masa depan.

Saranan itu disuarakan Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang menegaskan pakej itu sememangnya layak disediakan dan dinikmati rakyat pelbagai lapisan, bukan sekadar hanya dongengan.

“UMNO dan BN perlu sedar apa kemahuan orang muda seperti dalam bidang pendidikan melibatkan kemasukan ke institut pengajian tinggi, bidang sukan seperti padang bola, futsal dan badminton.

“Peluang pekerjaan juga perlu dilipatgandakan. Jangan dilupakan, bidang Internet iaitu kemudahan mengakses Internet yang laju. Ini kehendak orang muda. Jadi kalau parti tidak fikir hal ini, orang muda akan jauh daripada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai bicara santai “Anda Tanya Kita Jawab” anjuran UMNO-Online yang turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Isham Jalil.

Mohd Zaidi yang lebih mesra dan dikenali sebagai Cikgu Zaidi berkata angin perubahan untuk menarik orang muda menyokong UMNO dan BN perlu ditiup sekuat-kuatnya dalam mengekalkan mandat pentadbiran negara sedia ada dan bukan mengabaikan golongan itu.

Mohd Razlan yang senada dengan beliau, berkata lebih ramai pemimpin muda perlu diketengahkan khasnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sekali gus diberikan peluang menjadi pemimpin dan penggerak utama jentera parti.

“Jika tidak membuka pintu lebih luas kepada orang muda seperti sebelum ini, parti tidak akan diintai malah diketepikan. Mungkin perkara ini tidak popular tetapi perlu dibuat untuk kelangsungan parti dan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menyediakan masa depan yang lebih baik untuk golongan muda melalui program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang bakal memanfaatkan mereka apabila terlaksana kelak.

Jelasnya, tawaran hebat ini tidak diberikan kem pembangkang yang hanya tahu popular dalam isu semasa dan mengutuk dasar kerajaan tanpa memberikan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang timbul.

0 comments:

Post a Comment