Kuala Lumpur - Perhimpunan Agung UMNO 2017 tiba ke penghujungnya, YAB Presiden parti akan membuat penggulungan pada petang ini satu acara kemuncak yang dinanti-nantikan oleh para pemimpin dan ahli-ahli UMNO di seluruh negara.
Setelah berkampung selama 5 hari melaksanakan tanggungjawab sebagai perwakilan dari peringkat bahagian masing-masing sudah tentu Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan antara perhimpunan paling terbaik dengan rata-rata perwakilan dan pemerhati begitu bersemangat sekali.
UMNO Pulau Pinang juga tidak ketinggalan dalam merasai denyut perubahan ini dan sudah tentu bagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman iaya sesuatu yang cukup istimewa dan banyak perkara yang mahu diperkatakan.
Penang Online secara esklusif telah mendapatkan pandangan Datuk Seri Zainal Abidin Osman untuk dikongsi dengan semua sempena berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2017 pada petang nanti.
Dalam temubual itu, Datuk Seri Zainal berkongsi pengalaman beliau yang telah genap 30 tahun menjadi perwakilan ke perhimpunan agung UMNO dan beliau melihat kelainan dalam ucapan dasar presiden kerana YAB Presiden parti mengkhususkan perhimpunan kali ini untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi 'fathers of all battles' iaitu satu perjuangan, peperangan dan satu medan pertempuran paling hebat.
Menurut Datuk Seri Zainal lagi ucapan yang diberi pada hari khamis lalu meletakkan ahli-ahli parti, pimpinan peringkat bahagian, negeri dan pusat berada dalam keadaan perlu bersiap sedia malah lebih daripada itu perlu terus menghayati roh perjuangan dan menginsafi bagaimana pilihanraya umum yang ke-14 ini akan menjadi satu medan yang akan menentukan masa depan parti UMNO.
"Satu pertembungan yang akan menjamin survival UMNO itu sendiri dan lebih daripada itu seperti yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri, perhimpunan ini walaupun perwakilan 2700 orang, ahli UMNO 3.6 juta, ahli Barisan Nasional 7 juta tapi ia merangkumi nasib dan masa depan 32 juta rakyat Malaysia secara keseluruhan.
"UMNO bukan sahaja untuk ahli UMNO , UMNO bukan sahaja untuk ahli Barisan Nasional tapi UMNO adalah untuk seluruh rakyat Malaysia dan perhimpunan ini adalah perhimpunan untuk menentukan nasib masa depan rakyat Malaysia.
Tambahnya ahli UMNO tiada pilihan seperti yang diucapkan oleh YAB Perdana Menteri , Presiden parti UMNO kecuali menggerakkan jentera parti ke arah 'ultimate victory' kemenangan mutlak atau kemenangan besar yang boleh meletakkan landasan yang betul ke arah perjuangan dan juga masa depan rakyat dan negara di masa depan.
"Seperti yang kita semua sedia maklum setelah 60 tahun kita Merdeka, setelah 71 tahun parti UMNO ini wujud untuk menjadi payung kepada orang Melayu, bumiputera dan juga seluruh rakyat, kita perlu mendapat mandat yang besar pada kali ini untuk meneruskan agenda dan perancangan kita.
"YAB Presiden parti kita juga telah beberapa kali dalam ucapannya menyebut tentang Pulau Pinang.Apabila Presiden parti menyebut tentang Pulau Pinang dengan kata lain Pulau Pinang masih dekat di hati beliau.
Datuk Seri Zainal menambah banyak perkara-perkara yang telah berlaku tentang Pulau Pinang seperti kejadian banjir, sikap Ketua Menteri, pembangunan di Pulau Pinang adalah sesuatu yang dekat di hati YAB Presiden parti dan ianya disebut dalam ucapan dasar untuk dikongsi kepada seluruh perwakilan dan rakyat tentang apa yang beliau mahukan tentang Pulau Pinang.
"Ini adalah sambungan daripada ucapan sebelumnya yang dibentang dalam bajet 2018 yang juga menyebut tentang Pulau Pinang tetapi yang menyedihkan kita apabila berlaku banjir, Ketua Menteri Pulau Pinang minta supaya diberikan peruntukan berbilion untuk rancangan-rancangan tebatan banjir.
"Apabila lapangan terbang kita sesak, diminta supaya lapangan terbang ini dinaik taraf dan dibesarkan bernilai ratusan juta ringgit.
"Apabila 'highway' kita sesak beliau pohon untuk dibesarkan 'highway' dan jalan berjumlah berbilion ringgit tetapi apabila kerajaan buat keputusan nak bagi 'airport' baru kepada kita, bagi hospital kepada kita, bajet itu ditentang oleh DAP tidak mahu diluluskan oleh DAP jadi kita rasa cukup kecewa".
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang itu menganggap sikap kepura-puraan Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai menikam dari belakang.
"Sikap Ketua Menteri yang begitu sekali berpura-pura, tangan kanan meminta tangan kiri secara sembunyi menikam kita, susu yang kita beri dibalasnya dengan tuba.
"Minta untuk banjir, minta 'airport', minta jalan bila kita bentangkan untuk pengundian di parlimen DAP tidak mahu meluluskan bajet yang dibentangkan".
Beliau menganggap sikap pura-pura pemimpin DAP itu sebagai racun yang boleh membahayakan serta boleh membunuh masa depan UMNO sekiranya rakyat terpengaruh dengan cerita-cerita dongeng mereka.
Selain daripada itu Datuk Seri Zainal turut mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan daripada Pulau Pinang yang telah mengambil bahagian dalam ucapan dasar Presiden dan telah membawa ucapan dengan begitu baik sekali
"Datuk Zaidi Ketua Bahagian Permatang Pauh dalam membahaskan ucapan usul dasar Presiden telah membawa pandangan-pandangan bernas, telah membawa cerita-cerita kepincangan DAP di Pulau Pinang dan dapat menarik perhatian para perwakilan dengan ucapan yang begitu hebat, ucapan yang bernas, ucapan yang baik dan kita gembira ada wakil daripada Pulau Pinang yang boleh berucap dengan sempurna.
"Begitu juga wakil Pergerakan Puteri UMNO yang juga adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru telah secara bersahaja membawa ucapan yang cukup padat dengan isi secara seloka secara gurauan yang mencuit hati para perwakilan, kita ucapkan syabas.
"Kita juga ada ucapan daripada anak muda kita, Presiden Kelab UMNO Luar Negara saudara Shah anak kepada YB Datuk Shah Headan Adun kita di Teluk Bahang, ini adalah lapisan anak muda kita belasan tahun yang kini kita ketengahkan untuk mewarisi perjuangan kita.
"Ucapan beliau juga baik penuh keinsafan bercerita tentang Baitulmaqdis, cerita tentang perjuangan UMNO, tentang harapan mereka kepada UMNO untuk generasi TN50 dan tadi pagi kita lihat ucapan daripada Saudara Nashrol yang membahaskan usul agama bercerita dan menyatakan terima kasih beliau kepada kerajaan persekutuan kerana meluluskan peruntukan lebih daripada RM500 juta untuk pembinaan masjid, untuk meningkatkan syiar Islam, untuk bayaran guru kafa, pegawai masjid di Pulau Pinang dan ini semua telah dirangkumkan dalam ucapan yang ringkas tetapi padat dengan isi untuk dikongsi dengan para perwakilan.
Dalam masa yang sama Datuk Seri Zainal turut mengulas tentang ucapan penggulungan oleh YAB Presiden pada sebelah petang nanti.
Beliau menjangkakan ucapan penggulungan YAB Presiden parti pada petang ini akan menyentuh secara keseluruhan ucapan-ucapan yang dibawa oleh wakil-wakil negeri dalam usul Presiden, usul ekonomi, usul agama dan pendidikan.
"Saya rasa kata-kata terakhir YAB Presiden kita pada petang ini adalah untuk membawa bekal kepada para perwakilan ke bawah dalam bulan-bulan terakhir ini untuk memberi yang terbaik, berusaha paling maksima, memastikan kita sentuh semua pengundi pastikan bahawa kita tidak ada ruang yang boleh dimanipulasikan oleh pihak pembangkang dalam kita mencapai kemenangan mutlak.
"Saya rasa YAB Presiden parti akan menyentuh tentang media sosial tentang perlunya kita mengambil sikap melawan dan menjawab dalam media sosial dan tentu sekali YAB Presiden akan menyentuh tentang pengundi 'first time voters' pengundi yang pertama kali mengundi di kawasan-kawasan Parlimen dan Dun yang angkanya antara 20 ke 25 peratus 'first time voters' di tiap-tiap kawasan bahagian parlimen dan dun.
"Jadi ini kata-kata hikmat, kata-kata amanat, kata-kata rangsangan yang akan diberi oleh YAB Presiden parti petang ini
"Sama-sama kita nanti ianya akan jadi bekal kepada perjuangan kita yang bukan mudah tetapi akan kita galas amanah dan tanggungjawab ini demi untuk kepentingan Bangsa, Agama dan Negara".
Mengakhiri ulasannya Datuk Seri Zainal berkata UMNO Pulau Pinang mengharapkan yang terbaik dan akan menggerakan jenteranya bagi menghadapi PRU ke-14.
"UMNO Pulau Pinang akan gerakkan jentera kita untuk pastikan kita menang disemua kerusi yang kita pertandingkan, 15 kerusi Dun dan 5 kerusi parlimen di Pulau Pinang disamping membantu rakan-rakan kita dalam komponen parti untuk merampas kembali beberapa kerusi yang pernah mereka menangi sebelum ini".
0 comments:
Post a Comment