KUALA LUMPUR: Wakil Kelab UMNO Luar Negara, Ahmad Syazwan Shah Shah Headan, tidak dapat menahan sebak hingga mengalirkan air mata apabila membawakan isu Baitulmaqdis yang diiktiraf sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS).
Esakan dan tangisan Ahmad Syazwan Shah turut dikongsi seluruh dewan manakala ada perwakilan Wanita dilihat tidak dapat membendung air mata masing-masing.
Mahasiswa yang menuntut di United Kingdom itu awalnya lantang bersuara mengutuk tindakan kuasa besar dunia berkenaan sebagai provokasi melampau, sebelum gagal menahan emosi lalu menangis tersedu-sedu.
"Hari ini, kami mengambil peluang ini untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis susulan langkah mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel.
"Ini yang kita tidak setuju, inilah yang akan membuat provokasi dan menjadi dunia tidak aman.
"Pernah Saidina Umar Al Khattab membebaskan Baitulmaqdis, pernah Salehuddin Al Ayubi membebaskan Baitulmaqdis," katanya dalam esakan dan suara tersekat-sekat, disambut laungan 'Allahu Akbar' oleh perwakilan.
Ahmad Syazwan Shah yang membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO berkata, UMNO juga mungkin hancur jika ahlinya tidak bersungguh-sungguh mempertahankan parti keramat itu pada pilihan raya akan datang, seperti mana nasib menimpa Baitulmaqdis.
"Kita ini berada di akhir zaman, ibu dan ayah (perwakilan). Seandainya ibu dan ayah tidak menjaga parti ini, seandainya ibu dan ayah berpecah-belah, seandainya ibu dan ayah tidak berusaha bersungguh-sungguh pada pilihan raya akan datang, di manakah kami kalau Baitulmaqdis pun kita tidak dapat pertahankan," katanya.
Sebagai golongan muda yang berada di luar negara, katanya, peranan Kelab UMNO Luar Negara tidak patut diabai dan diketepikan kerana pemikiran mereka mampu mempengaruhi yang lain.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelajar luar negara turut diberi peluang menjadi perwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia untuk memastikan idea dinamik ke arah pembentukan dan pembangunan negara. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment