Tuesday 30 January 2018

Aplikasi Sebenarnya.my Akan Diperkenal Tidak Lama Lagi


BUKIT MERTAJAM, 30 Jan – Portal sebenarnya.my akan diperluaskan dengan pengenalan applikasi berkenaan di telefon pintar dan media sosial seperti Facebook dan Youtube bermula tahun ini.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Eneng Faridah Iskandar langkah itu dilihat lebih efektif dalam memastikan semua lapisan masyarakat menerima maklumat yang tepat dengan pantas.

“Ketika ini kami hanya mempunyai kategori ‘palsu’ dan dengan pembaharuan platform sebenarnya.my ini, kami akan mengembangkan lagi skop maklumat dengan kategori baru iaitu ‘waspada’ dan ‘penjelasan’, “ beliau memberitahu Bernama di majlis perasmian Karnival Sebenarnya.my di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu baru-baru ini.

“Waspada” adalah peringatan kepada orang ramai supaya berjaga-jaga tentang segala jenis bentuk maklumat palsu yang tular sementara “penjelasan” pula ialah penerangan mengenai sesuatu isu yang dikeluarkan oleh agensi-agensi yang berkaitan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai untuk melanggan portal sebenarnya.my supaya tidak terlepas dengan sebarang maklumat terkini yang dikemas kini di portal itu.

Didik Masyarakat

Penularan berita palsu membuatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini giat mempromosi portal sebenarnya.my untuk orang awam mensahihkan sesuatu maklumat yang diterima melalui pelbagai platform termasuklah media sosial, blog mahupun aplikasi Whatsapp.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Dr Mazlan Ismail berkata, setelah lebih sembilan bulan portal itu dilancarkan, kini MCMC lebih bersedia untuk mengadakan program yang melibatkan masyarakat dan mendidik mereka tentang keburukan menyebarkan berita yang was-was dan diragui sumber.

Sebenarnya.my dilancarkan pada Mac 2017 dan kini dilayari kira-kira 19 juta kali.

“Kini telah tiba masanya untuk kami mengadakan aktiviti untuk bertemu dengan masyarakat bagi memperkenalkan portal ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Karnival Sebenarnya.my di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu baru-baru ini.

Karnival sebenarnya.my yang diadakan buat julung kalinya itu bertujuan mendekati masyarakat dalam memberi pemahaman tentang bahaya penularan berita palsu yang dilihat sebagai musuh negara ketika ini dan memberi pemahaman fungsi portal sebenarnya.my kepada orang ramai.

Karnival sehari itu diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti Fun Run Berita Palsu Musuh Negara, pertandingan debat, pameran MCMC, pertandingan basikal BMX, pertunjukan kereta serta acara kemuncak iaitu Bicara Perdana yang diserikan oleh penceramah Ustaz Wan Hizam Abdullah Sabil dan Ustaz Mohd Ravi Abdullah.

Tambah Mazlan, kerajaan sentiasa memandang serius isu penularan berita palsu kerana boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian terhadap sesuatu kelompok yang memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian, MCMC kini lebih agresif dalam menganjurkan karnival dan menyasarkan penganjuran di 50 kawasan Parlimen bermula tahun ini.

Karnival Beri Kesedaran

Pengunjung karnival, Roshita Ibrahim, 36, berkata, penganjuran karnival seperti ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat terutamanya yang berada di luar bandar tentang perlunya sesuatu maklumat disahkan terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada orang lain.

“Kadangkala kita keliru sama ada sesuatu berita itu adalah sekadar pendapat, andaian ataupun maklumat tepat kerana terlampau banyak informasi yang berbeza mengenai sesatu topik.

“Dengan adanya portal sebenarnya.my, lebih mudah untuk orang awam menyemak kesahihan sesuatu maklumat,” katanya.

Memuji usaha MCMC, Roshita berkata melalui Karnival sebenarnya.my, lebih ramai yang dapat memahami fungsi portal sekaligus menggunakan platform itu sebaik mungkin supaya dapat mengelakkan diri daripada dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pengurus acara, Khairuddin Mohd. Shah, 30, pula berkata, karnival seperti ini dapat mendidik orang ramai dengan sifat ‘tabayyun’ iaitu sentiasa memeriksa kesahihan setiap maklumat atau berita yang diterima tanpa mempercayai bulat-bulat.

Jika maklumat yang disebarkan adalah tidak benar, ianya boleh menganiaya pihak yang dikaitkan dalam sesuatu isu dan mungkin akan menggugat keharmonian negara.

Khairuddin juga berharap, kewujudan portal sebenarnya.my akan membuka mata banyak pihak supaya menjadi warga digital yang bertanggungjawab sekaligus menangani masalah penularan berita palsu.

Ruangan Sisi

Portal sebenarnya.my dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) pada bulan Mac 2017 sebagai usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu.

Bertemakan “Tidak Pasti Jangan Kongsi”, portal ini menjadi pusat sehenti bagi orang awam untuk menyemak sesuatu maklumat sebelum berkongsi berita yang diragui kesahihannya yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan lain-lain.

Sehingga kini, portal ini mempunyai lebih daripada 1500 kandungan mengenai maklumat-maklumat palsu dan juga penjelasan daripada pihak-pihak yang terbabit dengan kandungan berita palsu.

Portal ini bukan sahaja menjadi platform bagi pengesahan maklumat, tetapi orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat yang diragui kesahihannya.

Sesuatu berita yang tular akan dirujuk kepada kementerian atau agensi berkaitan dan penjelasan akan dibuat sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

Bagi sesetengah isu yang lebih rumit dan memerlukan siasatan terperinci pihak yang berkaitan perlulah memberi respon dengan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesahkan maklumat itu.

0 comments:

Post a Comment