Friday 26 January 2018

ASEAN-India Tingkat Kerjasama Maritim Dan Keselamatan Laut


ASEAN dan India semalam bersetuju untuk meningkatkan kerjasama maritim dan keselamatan dalam usaha memulihara alam sekitar dan membendung kegiatan jenayah di laut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan itu penting kerana potensi maritim dan sumber laut di rantau ini adalah amat besar dan penting untuk dimanfaatkan bagi kepentingan bersama.

“Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India bermula petang tadi (semalam) dengan sesi pemukiman bertemakan kerjasama maritim dan keselamatan. Kerjasama strategik ini menunjukkan potensi boleh kita raih daripada sumber maritim secara mapan.

“Pemimpin ASEAN mengalu-alukan hasrat India untuk tingkatkan kerjasama dalam bidang ini. Pemimpin menetapkan isu ini satu keutamaan dalam kerjasama strategik ASEAN-India.

“Saya juga menekankan ASEAN dan India perlu teruskan usaha ini terutama dalam pembinaan keupayaan dan pertukaran serta perkongsian maklumat untuk menghalang kegiatan jenayah di laut, keganasan, ekstremisme dan kegiatan lanun,” katanya pada sidang media sejurus selesai sesi pemukiman disertai 10 pemimpin ASEAN dan Perdana Menteri India Narendra Modi.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di India kelmarin untuk lawatan kerja dua hari bagi menyertai Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India yang bermula semalam.

Sementara itu, Najib berkata, jumlah perdagangan India dengan ASEAN pada tahun lalu mencecah AS$72 bilion, meningkat daripada AS$58 bilion pada 2016.

Katanya, jumlah itu adalah 2.6 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan ASEAN dengan negara luar dan menjadikan India rakan dagangan keenam terbesar gagasan itu selepas China, Amerika Syarikat, Jepun, Kesatuan Eropah dan Korea Selatan.

Pada sidang media itu, Najib turut mengumumkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, telah menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) membabitkan SME Corporation Malaysia dengan National Small Industries Corporation India bagi meningkatkan kerjasama dalam pembangunan perusahaan kecil dan sederhana di kedua-dua negara di samping meningkatkan daya saing mereka di pasaran antarabangsa.

MOU kedua antara Malamega Ltd Malaysia dan Puspathy Enclave Pvt Ltd India untuk meneroka pencarian dan pembekalan bahan api fosil, pembangunan tenaga hijau yang boleh diperbaharui, usaha perniagaan bersama untuk perdagangan arang batu bernilai AS$20 juta.

MOU antara JS Rezeki Bumi Maju Sdn Bhd dan GA Software Technology Pvt Ltd bernilai AS$5 juta bagi menyediakan sistem perkhidmatan automasi yang berasaskan artificial inteligence untuk untuk Jabatan Imigresen.

Keempat antara Orchid Life Sdn Bhd dan Vimta Labs Ltd bernilai AS $960,00 untuk melakukan kajian pra klinikal dan klinikal ke atas ekstrak kacip fatimah bagi kegunaan anti obesiti.

0 comments:

Post a Comment