Monday 29 January 2018

BN Bekerja Untuk Kesejahteraan Rakyat


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu wakil rakyat dan pemimpin Barisan Nasional (BN) terus fokus melakukan kerja terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia membolehkan rakyat tahu bahawa apa yang dilakukan BN selama ini semata-mata demi kebaikan mereka.

“Saya tidak sentuh pembangkang tetapi kita cerita tentang kerja kita sahaja. Kita tidak burukkan pembangkang, kita tidak mahu gaduh dengan mereka, supaya rakyat tahu kita buat kerja dan kerja kita untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam amal kutipan dana bagi pembelian tanah dan pembinaan semula Tokong Peng Aun Keong, malam ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, yang juga Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata matlamat kerajaan ialah mahu menjadikan Bagan Datuk, Perak dan Malaysia menjadi lebih makmur pada masa hadapan.

Katanya, permuafakatan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di bawah satu wadah mampu membawa kemakmuran yang lebih hebat kepada negara.

Beliau juga meminta masyarakat Cina di Bagan Datuk menutup ‘buku lama’ Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan Ke-13 sebaliknya membuka lembaran baharu dalam PRU-14 nanti.

0 comments:

Post a Comment