Tuesday 30 January 2018

Briged Gempur 2314 Perkukuh Kerjasama Pemuda BN Dalam Misi Menang Majoriti 2/3


BAGAN SERAI – Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Muhammad Sahfri Ab. Aziz melahirkan rasa puas hati melihat kerjasama yang semakin kukuh ditunjukkan oleh barisan Pemuda komponen dalam membantu parti memenangi majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, Pemuda komponen juga telah mempunyai sasaran tersendiri dalam mengatur gerak kerja terutama dalam memastikan para pengundi muda di bawah 40 tahun keluar ketika hari mengundi kelak.

“Gerak kerja Pemuda semakin kukuh apabila Pemuda komponen juga kini bersama-sama Pemuda UMNO menyusun stategi bagi mencari para pengundi yang telah dikenal pasti.

“Ianya semakin diperkemaskan apabila Jelajah Briged Gempur 2314 akan menjadi barisan hadapan Pemuda untuk membantu parti. Di bawah Briged ini kita mempunyai banyak unit antaranya unit keselamatan, unit kenderaan bermorot dan unit ops jejak pada hari pengundian.

“Saya yakin dan pasti kesepakatan Pemuda UMNO dan komponen ini akan mencetuskan satu revolusi terbaik dalam membantu parti mencapai sasaran dua pertiga,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut berkaitan jelajah tersebut Sahfri berkata, jelajah ini akan turut melibatkan Pemuda komponen dalam melaksanakan ops jejak dan JR Plus bagi bersama-sama mencari pengundi muda di bawah umur 40 tahun dengan pelbagai latar belakang dan bangsa.

“Ini penting kerana kita harus membawa mereka yang telah dikenal pasti ini keluar pada hari mengundi. Jadi, kita tidak boleh berharap kepada Pemuda UMNO sahaja, Pemuda komponen juga harus memainkan peranan yang sama,” jelasnya.

0 comments:

Post a Comment