Tuesday 16 January 2018

Buat Keputusan Tepat Pada PRU14


Balik Pulau - Rakyat Pulau Pinang perlu bijak untuk memilih parti dan kerajaan yang benar-benar mempunyai kekuatan untuk mentadbir negara dan negeri pada PRU14 nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata "Sudah tiba masanya rakyat negeri ini memberi mandat kepada BN untuk menerajui semula Pulau Pinang yang mempunyai potensi cukup besar dari segi ekonomi.

"Kalau kita nak pilih parti yang mempunyai perancangan, stabil dan bersepakat tidak ada melainkan BN dan dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.Ini masanya kerana kita telah memberi peluang kepada kerajaan DAP di Pulau Pinang untuk mentadbir pada sebelum ini.

"Kita dapat lihat bagaimana kecelaruan kepimpinan mereka di kerajaan negeri.Tidak boleh memberi pembelaan, malah polisi dan dasar yang mereka lakukan menguntungkan kelompok tertentu saja yang mereka ada kepentingan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada program Jom Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO di Dewan Yayasan Lestari, Pusat Khidmat Adun Pulau Betong di sini, semalam.

Menurutnya, perkara itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan selepas DAP diberi peluang untuk mentadbir Pulau Pinang selama dua penggal.

"Sudah sampai ketikanya kita harap rakyat Pulau Pinang lebih matang untuk memberi mandat kepada BN.Apatah lagi negeri ini mempunyai potensi yang cukup besar dari segi ekonomi.

"Sudah tentu potensi yang ada di Pulau Pinang hanya boleh dibangunkan oleh kerajaan BN yang sudah ada trak rekod dan kemampuan.Ini yang perlu rakyat lakukan dan tidak ada pilihan sebenarnya melainkan kerajaan BN," katanya.

Ujarnya, dari segi kebajikan kepada rakyat juga telah terbukti bahawa BN bukan hanya memberi dalam belanjawan 2018 sahaja, malah sejak dari dulu lagi konsisten membantu dan menolong rakyat secara adil tanpa mengira latar belakang politik.

"Kalau dibandingkan kerajaan negeri baik di Pulau Pinang atau Selangor, kebanyakkannya retorik dan bantuan sumbangan hanya diberi kepada kelompok tertentu dan sudah tentu mereka hanya memilih rakyat yang sokong mereka saja.

"Ini beza kita dengan pembangkang.Sebab itu dengan perbezaan yang cukup jelas ini sudah sampai waktunya kita lupakan parti yang tidak ada masa depan dan tidak ada kesepakatan," katanya.

Pada perkembangan lain, beliau mendakwa bahawa DAP membina kekuatan atas keburukan orang lain.

"Perkara ini sangat jelas sejak PRU12 dan PRU13, mereka fitnah, memburukkan pihak lawan dan memberitahu rakyat perkara-perkara yang tidak benar.

"Apabila rakyat terpengaruh dengan apa yang mereka sampaikan, maka mereka membina kekuatan daripada fitnah dan membohongi rakyat," katanya.

Beliau berkata, tidak ada satupun agenda besar daripada parti itu untuk membangunkan rakyat.

"Mungkin ada beberapa projek pembangunan yang dibuat, tapi kita boleh lihat mereka buat terowong dasar laut, buat projek-projek pembangunan yang tidak ada impak dan hanya menguntungkan kelompok tertentu saja.

"Jadi tidak boleh kita pilih parti yang berdiri atas keburukan orang lain dan memfitnah orang lain.Kita nak parti yang ada agenda besar kepada rakyat dan negara," katanya.

0 comments:

Post a Comment