Tuesday 30 January 2018

Calon PRU-14: Wanita UMNO Negeri Akur


PERMATANG PAUH - Wanita UMNO negeri akan menerima keputusan pucuk pimpinan parti berhubung senarai calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim (gambar) berkata, ini kerana Wanita UMNO memahami pilihan raya umum akan datang adalah mencabar dan menjadi polisi parti meletakkan calon yang boleh menang.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu, ahli Wanita UMNO, Datuk Jahara Hamid merupakan calon tunggal pergerakan itu yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Air Tawar dan berjaya mempertahankan kerusi itu selama lima penggal.

“Beliau (Jahara) bukan wakil rakyat biasa malah diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menunjukkan Wanita UMNO mempunyai calon berkaliber,” katanya.

Terdahulu, Norliza bersama Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said hadir pada sesi taklimat kepada hampir 1,000 jentera parti kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, beliau telah menghantar senarai nama beberapa calon pergerakan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon.

“Kerajaan menyatakan 2018 sebagai tahun memperkasa wanita, jadi saya rasa wajar jika calon Wanita UMNO diberikan peluang,” katanya.

Mengulas mengenai peluang BN di Permatang Pauh, Norliza berkata, jentera Wanita UMNO akan menggunakan pendekatan berhemah sewaktu berkempen malah sudah mengatur beberapa strategi mendekati 15,000 pengundi kali pertama dalam Parlimen berkenaan.

“Kita berharap Wanita UMNO akan dapat memainkan peranan dengan berkesan dalam kempen kali ini supaya dapat mencatatkan keputusan lebih baik,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment