Friday 26 January 2018

Ghaib RM236 Juta : Apakah Guan Eng Sekali Lagi Akan Guna Taktik “Salah Kira”?


TASEK GELUGOR, 26 Jan  – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugur, Mohd Nashrol Hisham Abdullah hari ini melemparkan persoalan, apakah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi akan menggunakan taktik dengan memberikan alasan ‘silap kira’ apabila didesak berkaitan perbezaan sebanyak RM236 juta bagi menjalankan kos kajian keboleh¬laksanaan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang kerajaan Dap Pulau Pinang.

Jelas beliau, ini bukan kali pertama alasan tersebut digunapakai dan tidak mustahil ianya akan sekali lagi digunakan bagi menutup segala kepincangan yang ada.

“Saya sebenarnya hairan bagaimana seorang yang berlatar belakangkan akauntan boleh memberi alasan salah kira. Tapi bila difikirkan semula, apa yang perlu dihairankan kerana Dap adalah sebuah parti yang akan melakukan apa sahaja asalkan tengkuk sendiri selamat.

“Walaupun terpaksa menggunakan alasan yang sangat dangkal tetapi mereka sedikitpun tidak mengambil kisah kerana bagi mereka apa yang penting agenda mereka tercapai,” ujarnya.

Hari ini, Pengerusi Gerakan Teng Chang Yeow mempersoalkan tentang berbezaan kos kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang kerajaan Dap Pulau Pinang kerana perbezaan tersebut sangat besar.

China Railway Construction Corporation International (CRCC) menerusi laman webnya pada 12 Oktober 2013 mengumumkan telah menandatangani kontrak dengan Konsortium Zenith BUCG bagi mereka bentuk tiga lebuh raya dan terowong dasar laut dengan nilai kontrak sebanyak AS$22 juta.

Pada 14 Oktober tahun sama, Suruhanjaya Penyeliaan Aset dan kerajaan China melaporkan bahawa CRCC yang merupakan aset kerajaan negara itu telah menandatangani kontrak kajian kebolehlaksanaan berkenaan dengan nilai sama.

Nilai tukaran mata wang asing pada ketika itu ialah RM3.15 bagi AS$1 dan kontrak seharusnya pada nilai RM69.3 juta.

Kekeliruan mula timbul apabila laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 19 Oktober lalu dan jawapan kerajaan negeri pada 19 Mei lalu menyatakan kos kajian adalah sebanyak RM305 juta.

Maka berdasarkan itu, kerajaan Dap Pulau Pinang mengesahkan bahawa dua bidang tanah bernilai RM208 juta telah diberi sebagai pembayaran untuk menyiapkan kajian tiga lebuh raya. Ini menimbulkan persoalan mengapa terdapat perbezaan sebanyak RM236 juta.

Untuk rekod, sebelum ini Guan Eng pernah mengakui kesilapan kos pembinaan terowong dasar laut di negeri tersebut.

Ketika Kerajaan Negeri didesak memberikan penjelasan terhadap perbezaan jumlah kos projek pembinaan terowong dan tiga lebuh raya yang terdapat berbezaan sebanyak RM2.25 billion, Guan Eng akhirnya membuat kenyataan bahawa terdapat kesalahan menaip terhadap jumlah tersebut.

Selain itu, keputusan undi Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) juga dikatakan salah kira, kini kos terowong pula dikatakan salah taip.

Selain isu tersebut, Guan Eng turut mengaku ralat dan membuat kesilapan dalam mengumumkan projek usahasama membabitkan Ikano sdn.bhd (ikano), Aspen Vision Land Sdn. bhd (Aspen) dan kerajaan negeri bagi membina gedung beli – belah IKEA di batu Kawan seluas 245 ekar tanah pada harga RM284 juta sebaliknya jumlah yang betul adalah RM483,951,600.

Maka, sekiranya sekali lagi alasan salah kira atau salah taip digunapakai, maka ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

0 comments:

Post a Comment