Saturday 27 January 2018

Guan Eng Naik Angin Di Asak Isu Terowong


Sidang media Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu terowong dasar laut dan tiga jalan utama, tegang selepas beliau gagal mengawal emosi dan mengeluarkan pelbagai perkataan kurang elok didengar.

Guan Eng bukan sahaja melabel Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebagai ‘bodoh’, malah turut mendakwa pengamal media gagal mematuhi etika kewartawanan mengikut standard ditetapkan beliau.

Situasi itu tercetus selepas Guan Eng dilihat gagal mengawal perasaannya ketika memberi ulasan mengenai isu terbabit, selain berterusan menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak relevan.

“Ka Siong boleh tanya adakah ia (projek terowong dasar laut) di setem (atau) tak? Takkan kita nak jawab sampai peringkat budak-budak macam ini? Bodoh ke?

“Dia (Ka Siong) juga tanya kenapa pembinaannya belum dijalankan? Macam mana kita nak mula kerja kalau dia selalu masuk campur, selain asyik ada gangguan? Sekarang kita pun tak tahu sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak.

“Projek mahu mula, SPRM siasat, tetapi tiada tindakan. Tiba-tiba 2018, siasat lagi dan mula tangkap pula. Kenapa 2018? sudah tentu kerana pilihan raya umum sudah dekat,” katanya pada sidang media hari ini.

Projek mega bernilai RM6.3 bilion itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Malah, siasatan SPRM mendapati, beberapa ahli politik dipercayai menerima habuan sehingga jutaan ringgit dalam kajian projek yang akan menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth dengan ia dijangka dibina pada 2023.

Selain itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mendakwa pengamal media yang melaporkan isu berkaitan projek mega itu sebagai tidak profesional, beretika dan bermoral.

Beliau yang sebelum ini, sering melaungkan dan memperjuangkan hak kebebasan media itu bagaimanapun enggan menerima sebarang soalan daripada pengamal media tertentu.

“Mereka tak tahu apa itu malu dan memang tak kenal malu, apabila saya cakap macam ini mereka hanya senyum dan tak kenal malu punya. Ok sekarang Sinar (Sinar Harian) boleh tanya… saya tahu yang mana sinar dan tidak bersinar,” katanya.

0 comments:

Post a Comment