Wednesday 24 January 2018

Isu Terowong Dasar Laut: Perunding Wanita Di Reman 5 Hari


PUTRAJAYA, 24 Jan – Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap seorang perunding kejuruteraan wanita bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil mengeluarkan perintah reman terhadap wanita berusia 50 tahun itu bermula hari ini sehingga 28 Jan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Wanita itu, perunding kanan sebuah syarikat yang bertanggungjawab ke atas projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari, ketika tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi.

Dia ditahan kira-kira pukul 6.10 petang semalam ketika hadir memberi kenyataan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Media yang memetik sumber SPRM melaporkan bahawa wanita itu dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan tiga jalan utama dan terowong di Pulau Pinang yang bernilai kira-kira RM305 juta kepada kerajaan negeri.

Dengan penahanan terbaru ini, seramai tiga individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sebelum ini, dua pemimpin syarikat bergelar “Datuk” iaitu seorang pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat konsortium dan seorang timbalan pengerusi sebuah syarikat pembangunan hartanah ditahan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki pada Isnin lepas berkata setakat ini, SPRM merakam percakapan 76 saksi untuk memastikan kes itu disiasat daripada semua aspek dan secara adil.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

0 comments:

Post a Comment