Monday 15 January 2018

Isu Terowong Dasar Laut P.Pinang: Dua ‘Datuk’ Lanjut Reman


PUTRAJAYA, 15 Jan – Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan tempoh reman dua pemimpin syarikat bergelar ‘Datuk’ dilanjutkan lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Mereka ialah pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat konsortium berusia 59 tahun dan seorang timbalan pengerusi sebuah syarikat pembangunan hartanah, 50.

Majistret Khir Nizam Jemari membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melanjutkan perintah reman terhadap dua lelaki berkenaan sehingga 19 Jan.

Pada 9 Jan, kedua-dua lelaki itu ditahan secara berasingan iaitu di sini dan Pulau Pinang dan kemudian direman enam hari bermula 10 Jan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret George Town.

Penahanan kedua-dua lelaki itu adalah susulan serbuan SPRM di beberapa pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang dan beberapa syarikat berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut itu.

SPRM dilaporkan menyerbu pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Serbuan itu dilakukan susulan aduan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Pada 5 Jan lepas, Huan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

0 comments:

Post a Comment