Saturday 13 January 2018

Isyarat Salah, Rakyat Mangsanya


MUKADIMAH :KENAPA Pakatan Harapan membuat keputusan memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara mereka jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)? 

Apakah mereka ketandusan pemimpin atau ia satu muslihat?

Dan adakah tindakan pembangkang itu akan menguntungkan rakyat dan negara dengan mengambil semula seorang bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun? 

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHAMAD YASIR JAAFAR, di Putrajaya, Selasa lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Luar, DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN memberikan pandangan beliau.

UTUSAN: Apakah yang tersirat di sebalik pemilihan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan?

REEZAL MERICAN: Walaupun boleh dianggap satu strategi tetapi ia memberikan isyarat salah kepada rakyat. Mereka terlepas peluang untuk menakluki minda dan jiwa rakyat melalui penonjolan pemimpin yang luar biasa. Contohnya, jika pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang boleh berlapang dada untuk menjadi penasihat kepada pakatan pembangkang dengan menonjolkan pemimpin muda seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Lim Guan Eng, Nurul Izzah dan Rafizi Ramli sebagai barisan kepemimpinan, saya berpendapat ia akan memberi cabaran getir kepada Barisan Nasional (BN).

Saya bersimpati kepada pemimpin seperti Azmin yang bergelumang begitu lama tetapi akhirnya sedikit pun tidak diberikan tempat dan agak malang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain. 

Sebagai contoh, tidak ada seorang pun yang duduk di sebelah Dr. Mahathir dalam kalangan pemimpin pembangkang yang tidak pernah dipenjarakan oleh beliau. Kit Siang, Mat Sabu dan Guan Eng. Semua pernah dipenjarakan ketika zaman Dr. Mahathir.

Mungkin memi­lih Dr. Mahathir adalah strategi untuk me­lihat persepsi dan reaksi sebelum ditukar de­ngan pemimpin lain pada saat-saat akhir?

Apabila anda sudah mem­buat pengumuman dan perjanjian, parti yang tidak ada istiqamah dalam memberikan a deal kepada rakyat adalah parti yang tidak dipercayai ketika pilihan raya nanti.

Saya yakin masih wujud dalam kalangan pemimpin dan ahli PKR yang tidak percaya Dr. Mahathir akan menepati janjinya jika benar beliau menjadi Perdana Menteri sementara. Bagaimanapun mereka tidak ada ruang dan jalan lain, itu sahaja formula terbaik yang mampu dikemukakan oleh Pakatan Harapan. Kalau mahu bercakap soal reformasi, tunjukkan apakah satu perkara yang Dr. Mahathir lakukan bagi tujuan itu.

Dari segi undang-undang tidak ada, ekonomi tidak ada, soal pentadbiran tidak ada. Sebaliknya yang melakukan reformasi adalah Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan memper­kenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala Datuk Seri Najib Tun Razak me­lakukan reformasi dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan melaksanakan transformasi ekonomi.

Pemimpin pembangkang mung­kin menyedari sikap Dr. Mahathir tetapi kenapa mereka memilih beliau?

Mereka mahu melihat Datuk Seri Najib jatuh dan BN tumbang. Secara kebetulan mereka mempunyai matlamat sama. Dr. Mahathir hanya ada satu dendam kesumat iaitu menjatuhkan Perdana Menteri manakala parti-parti lain mahu menumbangkan BN.

Bagaimanapun Dr. Mahathir lebih beruntung kerana ketika beliau merancang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, beliau di­nobatkan sebagai Perdana Menteri sekali gus memungkinkan laluan untuk menjadikan anaknya sebagai Timbalan Perdana Menteri lebih mudah.

Bagi parti-parti dalam pakatan pula, mereka terpaksa akur atau mungkin pura-pura akur pada waktu ini atau berada dalam satu bentuk perjanjian yang penuh dengan keraguan. Apatah lagi Dr. Mahathir bukan ahli Parlimen, dalam usia 93 tahun, beliau perlu bertanding kalau mahu menjadi Perdana Menteri. Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula akan ada di situ semata-mata menanti Anwar mendapat pengampunan diraja. 

Soalnya apa akan terjadi kalau percaturan itu tidak berlaku? Siapa jadi mangsa? Sudah pasti seluruh rakyat menjadi mangsa.

Kalau kita kaji ucapan atau kenyataan Dr. Mahathir, beliau langsung tidak menarik balik segala kenyataannya mengenai Anwar sebelum ini?

Sebenarnya Dr. Mahathir yang menjadikan Anwar sebegitu terhina. Bukan orang lain yang berbuat demikian tetapi Dr. Mahathir. Beliau sendiri yang paksa seluruh rakyat tanam dalam pemikiran mereka bahawa insan bernama Anwar Ibrahim adalah seorang yang jijik.

Beliau sanggup menggambarkan timbalannya sedemikian rupa dan hari ini jilat balik semata-mata dendam kesumat. Dalam usaha mahu menjatuhkan Najib, beliau sanggup menggunakan apa juga cara termasuklah menuduh negara mahu bankrap sedangkan faktanya ekonomi negara berada dalam keadaan sangat baik.

Walaupun sebelum ini dikatakan pertarungan tiga penjuru akan menguntungkan BN, tetapi ada melihat sebaliknya, apa pandangan Datuk Seri?

Saya tidak mahu mendabik dada. Apabila kita turun ke ge­langgang, kita mempersiapkan diri untuk pertarungan satu lawan satu. Kita tidak mahu bertarung kerana ada konsensus tiga penjuru baharu kita boleh menang.

Bagaimanapun, saya melihat hakikatnya BN masih berada dalam keadaan yang kuat dan kukuh. Di Sabah dan Sarawak tahap kekuatan kita kekal begitu juga kawasan-kawasan yang di­terajui oleh UMNO.

Namun begitu ia bukanlah ‘cek terbuka’. Perdana Menteri kata kita kena terus bekerja keras dan mendampingi rakyat. Banyak masalah yang menimbulkan keresahan rakyat akan cuba diatasi dengan sebaik mungkin. - Utusan Online

1 comments:

  1. Saya bersimpati kepada pemimpin seperti Azmin yang bergelumang begitu lama tetapi akhirnya sedikit pun tidak diberikan tempat dan agak malang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang lain. black salwar kameez design , black shalwar design

    ReplyDelete