Thursday 11 January 2018

Jangan Ganggu Dan Jangan Politikkan Siasatan SPRM


Ketua Menteri Pulau Pinang tidak harus mengeluarkan kenyataan tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan yang dijalankan ke atas dua individu berpangkat ‘Datuk’ berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman ia adalah perkara normal dalam tugas SPRM dan sewajarnya tidak ada mana-mana pihak yang boleh mempersoal tugas hakiki SPRM termasuklah Lim Guan Eng.

“Biarkan SPRM buat tugas, jangan ganggu dan jangan politikkan siasatan mereka. Dalam hal ini sudah tentu kerajaan negeri perlu memberi kerjasama, tak payahlah setiap kali siasatan itu dibuat, kata ini sebab PRU dan sebagainya.

“Kita pun tak tahu bila PRU lagi, mungkin bulan 4 mungkin bulan 5, taka da kena mengena dengan PRU, kalau sebab PRU baik kita tangkap mereka pada bulan 4,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mempersoalkan mengapa tangkapan tersebut dilakukan pada ketika pilihan raya umum semakin hampir dan berharap tindakan diambil bukan disebabkan oleh penyokong BN berhubung isu tersebut.

“Kami harap ini bukan kerana kitaran pilihan raya dan ini bukan disebabkan serangan daripada kuasa pro-BN yang menentang kerajaan negeri,” beliau dipetik berkata dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Semalam, pegawai SPRM menyerbu pejabat beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta di Pulau Pinang yang terbabit dalam projek terowong itu, selain merampas beberapa dokumen bagi membantu siasatan.

Sebuah syarikat di Batu Maung, firma pembinaan di Menara Boustead, Kuala Lumpur, pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang dan tiga lagi agensi kerajaan berlainan di Komtar antara yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut.

Pada 5 Januari lalu, Parti Cinta Malaysia membuat laporan kedua dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek itu kepada SPRM di Putrajaya.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zainal turut berkata dengan siasatan yang dibuat SPRM ini ia akan memberi kebenaran yang sepatutnya kepada rakyat untuk mengetahui tentang perkara ini.

“Rakyat Pulau Pinang nak tahu perkara sebenar sebab sebelum ini kata projek itu berniai RM6 billion, kata nak buat jalan dulu, dari RM500 juta jadi RM1 bilion, exco kerajaan negeri banyak memberi angka yang berbeza.

“Kalau kes dibawa ke mahkamah rakyat akan tahu nanti perkara sebenar sebab kerajaan negeri memang suka mengelak.

“kalau tak ada kes sekalipun, kita harap lepas ini kerajaan negeri akan bercakap benar,” ujarnya lagi.

0 comments:

Post a Comment