Monday 1 January 2018

Kerajaan BN Yakin Rakyat Bijak Pilih Kerajaan Terbaik Untuk Masa Depan Mereka


KUALA LUMPUR - Kerajaan yakin dengan kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan untuk masa akan datang kerana mereka tahu siapakah yang memperjuangkan kepentingan mereka dengan sebenar-benarnya, kata Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perutusan tahun baharu beliau, perdana menteri berkata kerajaan percaya rakyat akan dapat melihat dengan jelas janji palsu yang ditabur pihak tertentu serta siapakah yang telah berjasa dan terus menabur jasanya.

“Inilah pilihan yang ada di hadapan rakyat Malaysia pada 2018. Sebuah kerajaan yang terus- menerus berusaha bagi menambah baik kehidupan mereka, dengan arah tuju serta dasar yang jelas untuk menggerakkan Malaysia ke hadapan dalam jangka masa singkat, sederhana dan panjang atau pihak yang hanya mampu berkempen secara negatif, dengan harapan unuk menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat kerana tiada apa yang dapat mereka beri kepada rakyat Malaysia, selain perpecahan dan ilusi populis yang kelak akan memusnahkan negara ini,” katanya.

Menurut beliau, rakyat berhak mendapat lebih banyak sumbangan daripada ahli politik, termasuk peranan mulia parti pembangkang dalam meneliti perundangan dan kebertanggungjawaban kerajaan.

“Dengan berlandaskan prinsip dan tingkah laku beretika, mereka boleh dan sepatutnya memainkan peranan secara bertanggungjawab dalam membina negara.

“Bagaimanapun, bukanlah perbuatan mulia atau bertanggungjawab sekiranya cubaaan dilakukan untuk mensabotaj ekonomi negara dengan membuat tuduhan liar dan tidak benar yang boleh merosakkan kebajikan dan kehidupan rakyat. Berbohong tentang negara sendiri untuk kepentingan politik peribadi adalah salah dari segi moral dan orang yang berbuat begitu sebenarnya mengkhianati Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata juga tidak boleh diterima adalah apabila seorang bekas pemimpin cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik bagi merealisasikan cita-cita beliau untuk anaknya .

Bagi sesebuah negara demokrasi, kata Najib, satu-satunya perkara yang menjadi perkiraan ialah kehendak rakyat seperti yang dinyatakan melalui peti undi, bukan keinginan peribadi seseorang untuk mewujudkan dinasti.

“Juga, bukanlah bersikap bertanggungjawab namanya jika ahli politik menentang semata-mata kerana ingin menentang, walaupun sebenarnya, secara diam-diam mereka bersetuju bahawa langkah yang diambil kerajaan adalah betul.

Sudah terlalu banyak kita lihat tentang hal ini, sama ada berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang mendapat pujian daripada hampir semua pakar ekonomi terkemuka dunia, serta merupakan suatu pembaharuan yang turut dilaksanakan hampir semua negara lain, termasuk India dan Arab Saudi, dan berhubung 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata adalah memalukan apabila tokoh pembangkang sendiri secara senyap-senyap mengaku mereka menerima konsep itu untuk memupuk perpaduan nasional, seperti yang sepatutnya diterima oleh semua rakyat Malaysia yang berjiwa patriotik, tetapi mereka menentangnya kerana mereka mempunyai cita-cita politik peribadi dan penuh penipuan.

“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi kita perlulah berhemah dan tertib. Janganlah dianggap sesuatu yang aneh, contohnya, menziarahi seteru lama kita di hospital untuk menyampaikan rasa simpati dan ucap selamat agar mereka lekas sembuh.

Itu sepatutnya diterima dan difahami dalam masyarakat bertamadun kerana kita tidak percaya dan juga tidak akan kembali kepada amalan kejam di bawah seorang bekas pemimpin dulu,” katanya.

Perdana Menteri berkata cara lebih baik telah ditunjukkan PAS di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun beliau daripada parti berbeza.

“Kami berada dalam parti berlainan, tetapi kami atasi perbezaan itu apabila berdepan dengan kepentingan bersama seperti menyokong perjuangan masyarakat Rohingya dan Palestin,” kata beliau sambil menegaskan bahawa amalan itu merupakan politik lebih matang yang membantu membina negara ini dan menyatupadukan rakyat.

Najib berkata 2017 juga melakar kejayaan luar biasa kerana pada tahun ini kerajaan melipatgandakan usaha bagi memastikan wujudnya tadbir urus yang baik dalam semua sektor, termasuk tidak membiarkan kesilapan masa lampau terus berlalu tanpa ditangani dengan sewajarnya.

“Beberapa ahli politik seperti Lim Kit Siang telah sekian lama menyeru agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dalam urus niaga tukaran matawang asing yang dialami antara 1992 dan 1994. Tahun lepas, kerajaan menyahut seruan itu dengan menubuhkan sebuah panel dianggotai tokoh terkemuka untuk menyiasatnya.

Mereka merumuskan bahawa Bank Negara mengalami kerugian RM31.5 bilion dalam tempoh itu, yang kata mereka, mempunyai ‘impak negatif yang signifikan terhadap ekonomi negara kerana ia menyekat negara ini daripada peluang pembangunan,”katanya.

Perdana menteri berkata oleh kerana rakyat Malaysia berhak untuk tahu apakah yang telah berlaku pada masa lepas, maka adalah sesuatu yang wajar apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diberi nafas baharu menunjukkan kepada mereka yang melakukan kesalahan bahawa mereka akan dikenakan tindakan.

“Saya ingin umumkan bahawa pada Julai lepas, kerajaan mengambil tindakan untuk menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diwujudkan seorang bekas pemimpin. Rakyat Malaysia telah membayar harga yang tinggi apabila beberapa rakan bekas pemimpin ini mengaut keuntungan lumayan, tanpa mengambil kira beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Najib berkata kelemahan tadbir urus, sama ada oleh sektor awam dan swasta, tidak boleh dibiarkan, malah perlu disiasat dan diperbetulkan, bukan sahaja kerana ia perlu dilakukan agar Malaysia dapat meneruskan langkahnya ke arah mencapi status negara berpendapatan tinggi, tetapi juga kerana rakyat berhak untuk menikmatinya.

Mengenai pencapaian Malaysia pada 2017, beliau berkata adalah sesuatu yang sungguh istimewa bagi Malaysia apabila negara ini menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaannya dengan memenangi 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa pada Sukan SEA.

Katanya, Malaysia juga terus berpegang teguh dengan prinsipnya di pentas global seperti yang terbukti melalui usaha negara ini berhubung krisis Rohingya, di samping pendirian tegas yang dipamerkannya di peringkat antarabangsa bahawa Baitulmuqaddis tidak boleh sekali-kali diiktiraf sebagai ibu negara Israel.

Beliau berkata Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud juga memilih Malaysia sebagai tempat untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman bagi memerangi ekstremisme dan menyebarkan ajaran Islam sebenar.

“Kepimpinan Malaysia juga mendapat pengiktirafan di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) apabila resolusi Gerakan Kesederhanaan Global kita untuk memerangi ekstremisme dan radikalisasi diterima pakai melalui pengundian pada Perhimpunan Agung badan dunia itu,” katanya.

Bagaimanapun, 2017 juga menyaksikan beberapa cabaran dan tragedi yang sukar dilupakan rakyat negara ini seperti kematian 23 pelajar dan guru akibat kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada September, banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Pinang serta pembunuhan Kim Jong Nam di bumi Malaysia pada Februari, kata Najib.

Pada 2017 juga, rakyat Malaysia melalui detik pilu berikutan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, yang mencatat sejarah sebagai seorang sultan yang menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dalam hayat baginda dan pemergian Tan Sri Adenan Satem dari Sarawak, tokoh politik yang amat disayangi rakyat, kata beliau.

Perdana menteri berkata, bagi tahun 2018, tatkala rakyat Malaysia mula memandang ke pertengahan abad ini melalui inisiatif Transformasi Nasional 2050 dan Malaysia pada masa akan datang, terdapat banyak sebab bagi mereka untuk terus bersikap optimistik.

“Inilah Malaysia yang patut kita banggakan dan dengan itu saya menjemput semua rakyat Malaysia bersama-sama mengalu-alukan ketibaan 2018 dengan kegembiraan dan semangat perpaduan dalam hati kita,” kata beliau.

0 comments:

Post a Comment