Tuesday 9 January 2018

Kes Cikgu Idzahril Di Tangguh , Pihak Pendakwaan Gagal Kemuka Laporan Perubatan


Nibong Tebal - Semua pihak yang hadir ke Mahkamah Majistret Jawi bagi menyatakan sokongan moral terhadap Cikgu Idzahril Ahmad pagi ini melahirkan rasa syukur dengan semangat dan sokongan daripada pelbagai pihak.

Kes Cikgu Idzahril mula mendapat perhatian apabila Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pulau Pinang sebuah pertubuhan bukan kerajaan mengambil inisiatif untuk memulakan kempen mempertahankan Cikgu Idzahril selaku golongan pendidik kerana percaya bahawa tindakan pendakwaan terhadap beliau merupakan satu tindakan yang mencemar sama sekali institusi perguruan negara.

Turut bersama menyatakan sokongan adalah Kesatuan Guru -Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang juga membiayai kos guaman Cikgu Noor Idzahril bagi berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta 323 Kanun Keseksaan yang dihadapi beliau.

Lebih 100 orang dari pelbagai peringkat berkumpul di luar perkarangan Mahkamah Majistret Jawi hari ini termasuklah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Zambri Mohd. Isa,  Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda  dan pemimpin masyarakat.

Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan akhir kes seorang guru Noor Idzahril Ahmad, 53 tahun, yang didakwa memukul murid Tahun Tiga pada Ogos lalu.

Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan tarikh berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan laporan perubatan yang sepatutnya diserahkan hari ini.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob berkata, pihaknya memohon kes anak guamnya dilepas tanpa dibebaskan berikutan pihak pendakwaan gagal menyerahkan laporan perubatan pada sebutan semula kes yang ketiga.

Guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh itu, dihadapkan di Mahkamah Majistret Jawi pada 11 Disember lalu, Noor Idzahril didakwa memukul seorang murid Tahun Tiga SK Sri Sentosa pada 2 Ogos lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memukul murid berkenaan selepas dia berbuat bising ketika cikgu berkenaan sedang mengajar di kelas bersebelahan.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.

0 comments:

Post a Comment