Monday 15 January 2018

Khabar Gembira Untuk Pesara Polis


KUALA LUMPUR 15 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan empat khabar gembira yang memberi manfaat kepada lebih 120,000 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perdana Menteri memberitahu, kerajaan telah bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta setiap tahun bagi tempoh tiga tahun kepada Tabung Amanah Warisan Polis yang berperanan membantu keluarga pesara polis.
Beliau juga mengumumkan kuota khas menunaikan haji akan diberi kepada golongan pesara polis.

Beliau bagaimanapun belum memuktamadkan jumlah kuota itu kerana perlu menunggu 'isyarat' daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

"Selain itu, kerajaan juga akan mengkhaskan sebahagian daripada 10,000 unit skim perumahan mampu milik Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) supaya golongan pesara ini mampu memiliki rumah.

"Atas nasihat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hal ehwal veteran polis akan disusun semula dan akan buka cawangan di setiap negeri bagi memudahkan kita membantu khususnya daripada aspek kebajikan pesara.

"Tuan-tuan, saya tahu ini bukanlah nilai sumbangan tuan-tuan yang tidak ternilai," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pesara-Pesara Polis Dengan Perdana Menteri di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Selain Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun serta Timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Kira-kira 5,000 pesara polis dari seluruh negara menghadiri majlis perjumpaan itu. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment