TASEK GELUGOR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhasrat mewujudkan lebih banyak Kolej Komuniti dalam memperhebatkan kursus berbentuk program latihan teknikal dan vokasional (TVET) seperti yang disarankan kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata sehingga kini terdapat 95 Kolej Komuniti di seluruh negara yang menawarkan 48 program berbentuk sijil dan 17 kursus diploma.
Beliau berkata, ledakan industri revolusi 4.0 mendorong pihak kementerian membangunkan lebih banyak kolej dan institusi pengajian yang menawarkan program kemahiran.
"Ia selari dengan hasrat kementerian meneruskan program pengajian TVET selain mahu mengadaptasi Industri 4.0 dalam bidang pendidikan negara.
"Oleh itu, kita kini sedang memperhebatkan usaha berkenaan yang mana salah satunya dengan pembinaan Kolej Komuniti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampus Kolej Komuniti Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Kolej Komuniti Tasek Gelugor adalah kolej keenam di Pulau Pinang dan uniknya bangunan institusi itu dibina di atas tanah sendiri, tidak seperti bangunan kolej lain yang hanya menyewa di bangunan rumah kedai.
Idris berkata, bangunan kolej yang berkeluasan 5.66 hektar itu dibina dengan kos RM13 juta.
"Selain itu, kementerian juga menambah peruntukan RM400,000 untuk membina dewan serba guna serta gelanggang bagi kemudahan pelajar serta tenaga pengajar di sini.
"Bagi bidang pengajian yang ditawarkan di kolej ini pula membabitkan program berbentuk Sijil Pastri serta Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara," katanya.
Idris berkata, selain daripada Kolej Komuniti Tasek Gelugor, pihaknya turut merancang menambah pembukaan kampus Kolej Komuniti baharu pada tahun ini dengan memfokuskan beberapa negeri antaranya Perak, Kelantan dan Terengganu. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment