Thursday 11 January 2018

Kritikan Mahathir Terhadap TN50 Kebudak-budakan – Duta Belia TN50


KUALA LUMPUR, 11 Jan – Duta Belia Transformasi Nasional (TN50), Shahril Hamdan berpandangan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap TN50 seolah-olah menidakkan suara-suara golongan berkenaan gara-gara kiblat politik mantan perdana menteri itu yang hari ini beralih arah.

Menurut beliau amat menyedihkan kenyataan sedemikian rupa dikeluarkan terhadap perancangan untuk golongan muda hari ini dan tohmahan berkenaan amat dikesalkan sama sekali malah tidak keterlaluan dianggap kebudak-budakan.

“Kenyataan Tun Mahathir mengatakan bahawa TN50 digagaskan kerana Wawasan 2020 gagal dicapai adalah bersifat kebudak-budakan. Wawasan 2020 sendiri tidak ada sasaran atau matlamat yang jelas selain daripada 9 cabaran yang digariskan okeh Tun sendiri pada tahun 1991.

“Sebagai contoh salah satu cabaran Wawasan 2020 adalah Membina Bangsa Malaysia Yang Bersatu Padu, apakah penanda aras pencapaian cabaran ini? Adakah sekarang rakyat Malaysia tidak bersatu padu,” katanya kepada UMNO-Online,di sini, hari ini.

Beliau mengulas komen Dr Mahathir sebelum ini bahawa TN50 merupakan pengakuan kerajaan bahawa ia gagal merealisasikan Wawasan 2020 menjadi kenyataan.

Wawasan 2020 adalah gagasan Dr Mahathir yang diperkenalkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Keenam, dan bermatlamat untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

TN50, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017 pada 21 Okt, 2016, adalah dasar futuristik untuk mencorakkan hala tuju negara dalam tempoh 30 tahun selepas 2020.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya berhubung perkara berkenaan dilaporkan berkata kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap TN50 adalah amat menyedihkan dan dikesali kerana ia menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu menolak aspirasi kolektif golongan muda Malaysia.

Khairy berkata TN50 adalah suara golongan muda Malaysia yang menyaksikan berjuta-juta golongan muda telah tampil untuk berkongsi harapan, impian dan aspirasi untuk membina masa depan bersama.

Shahril seterusnya berkata dari awal lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Khairy telah menegaskan bahawa TN50 tidak bermaksud untuk memadamkan legasi sesiapa tetapi sebuah kesinambungan kepada apa yang kita ada sebelum ini seperti DEB dan Wawasan 2020.

“Jika TN50 meniru Wawasan 2020 kerajaan tidak akan mengadakan dialog mendengar aspirasi daripada segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda. Kita faham pendirian Tun yang sudah berada di sebelah sana, apa sahaja yang kerajaan buat tak akan kena di mata Tun.

“Lebih 60,000 aspirasi daripada 100,000 anak muda telah berjaya dikumpulkan setakat ini. Janganlah Tun menidakkan suara-suara mereka hanya kerana kiblat politik yang sudah bertukar arah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment