Thursday 25 January 2018

Negara Tidak Tergadai Dengan Pelaburan China


Peningkatan dalam pelaburan China di Malaysia, bukan bermakna bahawa negara ini sedang digadaikan kepada kuasa besar itu.

Penganalisis yang juga Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr. Azmi Hassan berkata, pelaburan tembok besar China itu dalam pembangunan infrastruktur sebenarnya telah memberi manfaat kepada pembangunan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memandangkan kesalinghubungan yang lebih baik adalah pemacu utama pertumbuhannya.

“Amerika Syarikat dan Jepun telah melabur di negara ini sejak sekian lama dan hanya baru-baru ini, China mula meningkatkan pelaburan.

“China pada masa sekarang sudah menjadi sebuah negara berekonomi kukuh. Ia boleh melabur di mana sahaja yang mereka mahu, tetapi mereka memilih Malaysia. Ini adalah disebabkan kita mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dengan mereka dan sebaliknya, kita memerlukan pelaburan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum “Pelaburan China di Malaysia: Apa Isu Sebenarnya?” di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Shah Alam di sini hari ini.

Antara lain yang menjadi panel adalah Konsultan Keselamatan dan Penyiasatan, Kapten (B) Rahmat Omar dan Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Tambah Azmi, pelaburan syarikat-syarikat China di Malaysia adalah bersifat jangka panjang dan negara tersebut melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang baik di rantau ini.

“Jika China hanya melabur untuk jangka masa pendek, tidak mungkin mereka hendak mela­bur di negara ini dan sedar akan potensi pelaburan yang dapat dicapai dan ia tentunya satu petunjuk yang baik bagi ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Shahril memberitahu usah dipolitikkan mengenai isu pelaburan China memandangkan Malaysia sudah lama menjalin hubungan diplomatik dan perniagaan dengan China.

Bahkan Malaysia adalah negara ASEAN pertama menjalin hubungan dua hala dengan China, iaitu ketika Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membuka langkah pada 1974.

“Itu sebabnya tidak perlu isu pelaburan dengan China diperbesar-besarkan sedangkan negara kita sentiasa mengalu-alukan pelaburan dari pelbagai negara seperti Jepun, Arab Saudi, negara Eropah mahupun Amerika Syarikat.” katanya.

0 comments:

Post a Comment