Wednesday 10 January 2018

Pakatan Harapan Tiada ‘Tiang Seri’


Pengagihan jumlah kerusi dalam Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas memperlihatkan ketiadaan parti dominan yang mampu menunjangi gabu­ngan pembangkang itu sekali gus menjadikannya rapuh dan tidak berupaya mendukung aspirasi rakyat.

Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah pengagihan kerusi yang dibahagikan sama rata itu secara tidak langsung membuktikan Pakatan Harapan tidak mempunyai parti teras atau ‘tiang seri’.

Jelas beliau, kekuatan dan kesepakatan bukannya diukur dalam soal pengagihan kerusi, sebaliknya parti mana yang akan menjadi tunjang untuk mengemudikan gabungan tersebut.

“Bayangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 52 kerusi, PKR (51), DAP 53 (termasuk di Sabah dan Sarawak). Maka tiada satu parti pun yang dilihat boleh dikatakan sebagai ‘tiang utama’. Siapa terasnya?

“Secantik mana bangunan itu kalau tiada tiang utama sudah pasti ia rapuh dan boleh tumbang pada bila-bila masa. Perkara ini dianggap abstrak tetapi inilah hakikatnya dan akhirnya akan menjadi satu pakatan yang tidak bertenaga dan kuat untuk mendukung aspirasi rakyat.

“Berbeza dengan Barisan Nasional (BN), UMNO adalah teras dan tiang utama, apabila turun bertanding kita sudah tahu siapa akan menjadi pemandunya, namun di sampingnya kita ada pembantu dan juga penumpang dalam bas yang akan menuju ke satu destinasi sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Reezal Merican menegaskan, secara majoriti UMNO bertan­ding dalam keseluruhan kerusi maka itu merupakan satu isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa dalam gabungan tersebut UMNO adalah terasnya.

“Kalau BN jatuh, rakyat akan melihat jatuh terasnya iaitu UMNO, tetapi UMNO bukan berjuang untuk satu kaum sebalik­nya semua rakyat dan ini dibuktikan sejak 70 tahun lalu.

“Ini bukan suatu yang baru, UMNO tidak berselindung malah tampil ke hadapan memberitahu UMNO adalah teras BN malah ia juga dipersetujui oleh 14 ahli gabungan komponen,” ujarnya.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan keputusan gabungan pembangkang yang bersetuju mengagihkan 52 kerusi Parlimen untuk ditandingi PPBM, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan PAN 27 kerusi dalam PRU14.

Pengumuman itu dinyatakan oleh Saifuddin semasa membacakan perjanjian muafakat Pakatan Harapan yang ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, PAN dan PPBM dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, baru-baru ini.

Dalam majlis sama, konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu turut mengumumkan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara manakala Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak. - Utusan Online

1 comments:

  1. Habis tu nak ka biar umno kebas semua duit rakyat.. Kita perlu tukar pm.. Kalau nk sruh sokong umno boleh tp sila tukr pm

    ReplyDelete