KEPALA BATAS - Pemberian pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif kepada rakyat terutama golongan B40 ke bawah membuktikan kerajaan terus komited untuk membela nasib rakyat di negara ini.
Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pemberian dan bantuan berterusan kepada semua lapisan rakyat itu juga menunjukkan ekonomi negara terus kukuh.
Ini membuktikan dakwaan pihak tertentu hanya bertujuan untuk memburuk-burukkan kerajaan sedangkan kerajaan sentiasa berusaha membela nasib dan masa depan rakyat, katanya.
“Kita boleh lihat, setiap setiap kali pembentangan Belanjawan, kerajaan terus memperkenalkan insentif kepada kumpulan B40 iaitu kumpulan yang memerlukan pembelaan,” katanya selepas menyampaikan bantuan elaun sara hidup untuk 958 nelayan kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Seberang Perai di Penaga di sini hari ini.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata sebagai bukti negara terus utuh dan kukuh adalah pemberian elaun sara hidup yang tidak pernah terhenti walau sekali pun .
“Sebagai bukti apa yang kita lihat elaun sara hidup, pernah dengar ke elaun sara hidup ini terhenti sehingga setahun ke, atau dikurangkan atau dibayar dua kali ke, tak ada. Setiap bulan tidak pernah gagal, mereka dibayar. Bayangkan ini, istiqamah yang dilakukan kerajaan, kalau nak tahu orang tu baik tak baik bukan saja dia berjanji tapi dia juga melaksanakan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat yang menerima bantuan seumpama ini agar sentiasa bersyukur dengan keupayaan negara yang ditadbir urus dengan baik.
“Sebab itulah rakyat yang menerima kalau kita menerima sebagai tanda syukur kita perlu melihat realiti yang berlaku, kalau tak ada keupayaan bagi sebuah negara yang ditadbir urus sebaik ini, mana mungkin kita dapat lakukan agenda pengagihan, bantuan semacam ini,” katanya.
Reezal Merican juga mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah kumpulan tertentu kerana pada akhirnya mereka juga akan menderita.
Dalam pada itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak senantiasa melaksanakan pelbagai program untuk manfaat rakyat dan tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan masyarakat.
0 comments:
Post a Comment