BUKIT MERTAJAM - Pemilik lot kedai di Bazar Perdana, Bandar Perda diminta tampil menghadiri sesi taklimat yang akan diadakan bersama Majlis Tindakan Persekutuan bagi membincangkan mengenai masa depan pusat komersial itu.
Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, pusat perniagaan yang terbiar hampir 14 tahun itu dan menempatkan 1,072 lot kedai dikatakan akan dibangunkan sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) oleh kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun untuk merealisasikan hasrat kerajaan itu, kesemua pemilik lot berkenaan diminta tampil untuk berbincang mengenai syarat dan terma yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
"Bangunan ini tidak dapat beroperasi sepenuhnya sejak ia disiapkan sehingga hari ini dan menjadi isu sejak sekian lama di Permatang Pauh.
"Difahamkan bangunan ini menjadi salah satu cadangan untuk dibangunkan UTC di negeri ini dan kita berharap pemilik bangunan terbabit dapat tampil untuk memudahkan proses pelaksanaan bangunan yang bakal memberi manfaat kepada penduduk serta peniaga," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, dengan kewujudan UTC itu ia secara tidak langsung membantu pemilik terdahulu yang mengalami kerugian ekoran daripada bangunan yang tidak dapat beroperasi disebabkan beberapa masalah selepas berlakunya peralihan pentadbiran kerajaan negeri.
"Sebelum ini, kerajaan negeri dibawah pentadbiran BN berhasrat membantu peniaga di pasar Bukit Mertajam memindahkan perniagaan mereka di bangunan ini, namun terdapat beberapa kekangan hingga ia tidak dapat beroperasi dan terbengkalai.
"Hal ini menyebabkan pemilik bangunan ketika itu berdepan dengan kerugian besar dan ia mendorong pihak kita mahu menyelesaikan perkara terbabit dengan mengesyorkan bangunan ini dibangunkan semula dengan mewujudkan UTC di sini yang sekurang-kurangnya membolehkan pemilik menarik nafas lega selepas masalah mereka diatasi," katanya.
Beliau berkata, sekiranya pemilik enggan memberi kerjasama atau tidak hadir pada sesi taklimat itu, pelaksanaan UTC mungkin tidak dapat direalisasikan sekali gus mengenepikan peluang keemasan memperoleh manfaat serta faedah yang ada.
Mohd Zaidi berkata, majlis taklimat itu akan diadakan pada Jumaat depan di Politeknik Seberang Perai. - Sinar
0 comments:
Post a Comment