Friday 19 January 2018

Pemimpin BN Tidak Boleh Ambil Mudah Kedudukan Sedia Ada


SUNGAI PETANI, 19 Jan – Pemimpin Barisan Nasional (BN)  diingatkan agar tidak ambil mudah kedudukan mereka dalam pentadbiran negara kerana nasib parti akan ditentukan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu jentera BN bergerak lebih agresif dalam mendekati kesemua lapisan rakyat bagi memastikan BN kekal menerajui tampuk pemerintahan negara selepas PRU14.

“Landskap dunia kini sudah berubah, ini bukan hanya unik kepada negara kita, kalau kita tengok apa yang berlaku di Amerika Syarikat, di United Kingdom dan di Timur Tengah… mungkin dalam sejarah dunia tidak ada mana-mana pemimpin yang boleh mengambil mudah kedudukan mereka.

“Sebab itu slogan dan pendekatan kita ialah ‘yang akan menentukan segalanya adalah rakyat’. Sebab itu saya ingatkan jentera supaya mendekati golongan muda, cikgu dan mereka lain yang tidak merupakan ahli kita. Kita di Malaysia pilihan terbaik adalah BN,” katanya selepas melancarkan jentera BN Kedah di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar selaku Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengulas perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata keputusan Pakatan Harapan mencalonkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya memenangi PRU14 nanti hanya berdasarkan pertimbangan politik sementara.

“Oleh itu,  jentera di Kedah perlu ada kesedaran untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat kerana ada mereka yang keliru dan beremosi terhadap sentimen peribadi sebelum ini yang kita tidak ambil kira dalam perjuangan parti,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata barisan kepimpinan BN Kedah diyakini mampu berdepan dengan sebarang ujian bagi menghadapi PRU14 kerana biarpun kesetiaan pemimpin dan akar umbi telah diuji,  mereka masih teguh berjuang bersama parti.

“Mereka yang berhimpun hari ini telah diuji kesetiaan mereka dan ini bukan perkara yang mudah. Mereka inilah yang akan bersungguh-sungguh memastikan kemenangan calon BN yang akan bertanding pada PRU14 nanti,” katanya.

0 comments:

Post a Comment