Monday 29 January 2018

Pemuda BN Perak Lancar Jelajah Briged Gempur 2314


BAGAN SERAI – Pemuda Barisan Nasional (BN) kini bersedia membantu parti memenuhi sasaran memenangi dua pertiga daripada keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) nanti. 

Kerana itulah Pemuda BN melancarkan Jelajah Briged Gempur 2314 peringkat Negeri Perak sebagai persiapan awal menghadapi PRU-14.

“Briged ini nanti akan menjadi barisan pertama Pemuda untuk membantu parti menang dalam PRU nanti. Sasaran kita untuk kembalikan dua pertiga majoriti, sebab itu ia dipanggil Briged 2314. 23 membawa maksud dua pertiga dan 14 membawa maksud PRU-14.

“Saya malas nak (mahu) bercakap pasal pembangkang… pembangkang nak buat apa buatlah kerana saya tahu mereka hanya akan menghancurkan negara ini.

“Saya tidak sanggup tengok negara ini hancur hanya kerana cita-cita peribadi mereka jadi Pemuda akan terus gempur bagi memastikan BN menang PRU-14 nanti,” ujar Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin dalam ucapan perasmian jelajah tersebut Dewan Datuk Zainal Abidin Zin pada Sabtu.

Jelajah ini juga merupakan jelajah pertama Pemuda BN dan ia akan diteruskan ke negeri-negeri yang lain.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa Pemuda BN akan menyediakan manifesto kecil untuk pengundi muda bagi menghadapi PRU-14 nanti.

Manifesto tersebut merupakan akujanji yang akan menyediakan beberapa tawaran baharu kepada pengundi muda termasuk pekerjaan, latihan dan pendidikan, keusahawanan, kemudahan untuk orang muda serta perumahan.

“Saya sedang kumpulkan idea-idea daripada semua pihak dalam tempoh dua minggu ini untuk disiapkan sebelum diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan persetujuan,” katanya. 

0 comments:

Post a Comment