Wednesday 17 January 2018

Peningkatan Prestasi Ringgit Malaysia Bukti Kesungguhan Kerajaan


KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia ingin menzahirkan rasa syukur  kerana dengan kesungguhan usaha pihak kerajaan yang melaksanakan pelbagai pelan pemulihan dan alternatif, prestasi Ringgit Malaysia akhirnya berjaya berada di bawah paras psikologi iaitu di bawah nilai 4.00.

Ketua Penerangannya, Jamawi Jaafar berkata, apa yang lagi membanggakan, ia telah  berjaya ditambat pada nilai 3.9700/9730 berbanding Dollar Amerika Jumaat lalu berbanding 3.9950/9000 pada minggu sebelumnya.

“Peningkatan nilai mata wang ringgit ini disambut baik oleh Pemuda dan yakin prestasi cemerlang ini akan berterusan dengan petunjuk-petunjuk ekonomi utama Malaysia yang semakin positif iaitu pertumbuhan eksport dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi serta kegiatan ekonomi yang semakin menggalakkan.

“Pemuda percaya, selain daripada kestabilan politik, faktor-faktor ini juga sangat membantu dalam meningkatkan sentimen pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Ini memberikan isyarat positif bahawa paras Ringgit semasa akan semakin mengukuh dan berkembang seiring dengan pertumbuhan asas ekonomi negara untuk tahun 2018 dan sekaligus menangkis dakwaan sesetengah pihak terutamanya pihak pembangkang yang ekonomi Malaysia semakin teruk di bawah pentadbiran YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dakwaan ini  tidak benar sama sekali. Malah, Bank Dunia juga telah memberikan pengiktirafan terhadap hala tuju ekonomi negara dengan menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2017 kepada 5.8 peratus.

“Justeru, Pemuda yakin dengan kestabilan politik yang ada serta usaha yang berterusan daripada pihak kerajaan dan disokong oleh keadaan ekonomi dunia, kedudukan ekonomi negara akan dapat diperkukuhkan ke tahap yang lebih cemerlang, malah lebih baik daripada zaman pemerintahan Tun Mahathir menjelang 2020 nanti”, ujarnya.

0 comments:

Post a Comment