Monday 22 January 2018

Perumahan Mampu Milik Antara Fokus Kerajaan BN – PM Najib

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Satu daripada fokus utama kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah menyediakan perumahan mampu milik kepada setiap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menyediakan perumahan mampu milik sejak 2009, ketika beliau mula menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Setiap bajet Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana bagi merealisasikan aspirasi rakyat berkaitan perumahan, dan terbaru dalam Bajet 2018, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan bagi meneruskan usaha menyediakan perumahan untuk semua,” kata beliau dalam catatan terbaharunya yang bertajuk ‘Perumahan Untuk Semua’ di blog NajibRazak.com.

Najib berkata bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), kerajaan melaksanakan antaranya Program Perumahan Rakyat yang disewakan atau dijual pada harga amat rendah iaitu antara RM35,000 hingga RM42,000, dengan kos selebihnya dibiayai subsidi kerajaan.

Bagi golongan B40 tanpa rumah atau tinggal di rumah yang daif tetapi mempunyai tanah, beliau berkata program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia disediakan dengan kerajaan membina rumah pada kos RM65,000, iaitu subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 berserta subsidi 2 peratus kadar faedah pinjaman.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata program Rumah Idaman Rakyat pula membina rumah atas tanah kurniaan kerajaan negeri atau persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 dengan jualan diutamakan diwujudkan bagi pembeli Orang Kelainan Upaya atau ibu tunggal.

Bagi golongan berpendapatan sederhana (M40), beliau berkata kerajaan menyediakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

“Terdapat juga Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang menyasarkan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah pertama mereka. Rumawip dijual pada harga daripada RM63,000 hingga RM300,00.

“Bagi penjawat awam, kerajaan melaksanakan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), terutamanya penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit,” jelas beliau.

Selain itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai skim bagi membantu rakyat memiliki rumah, yang satu daripadanya ialah Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda baru bekerja dengan pendapatan kurang RM5,000 untuk mendapat pembiayaan 100 peratus.

“Bercakap mengenai deposit, terbaru saya mengumumkan Skim MyDeposit, di mana kerajaan membantu golongan yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai wang pendahuluan dengan membayar deposit tersebut bersamaan 10 peratus daripada nilai rumah di bawah RM500,000 atau sehingga jumlah maksimum RM30,000,” kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan banyak lagi inisiatif yang kerajaan laksanakan atas dasar keprihatinan kerajaan kepada keinginan dan keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri termasuk golongan berpendapatan rendah, golongan berpendapatan sederhana dan mereka yang mungkin tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar deposit.

Perdana Menteri berkata malang sekali, seperti ‘nasib’ yang menimpa Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan dan kesihatan serta bantuan-bantuan kerajaan yang lain, kesemua inisiatif itu telah dijadikan modal politik murah oleh pembangkang.

‘’Kepada mereka ini, daripada terus menyebarkan berita palsu serta fitnah memburukkan kerajaan, buatlah kerja yang bermanfaat, uar-uarkan skim perumahan ini kepada rakyat, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

“Janganlah kerana nama pembangkang, segala-galanya pun ingin dibangkang. Inisiatif dan usaha baik yang kerajaan laksanakan, panjangkanlah kepada rakyat. Walaupun pembangkang tak berupaya laksanakan dan tak dapat buat, sekurang-kurangnya boleh bawa rakyat kepada mereka yang berupaya deliver, yakni Barisan Nasional,” kata beliau.

0 comments:

Post a Comment