Tuesday 23 January 2018

Projek Terowong Dasar Laut : Sampai Bila Guan Eng Mahu Berdrama Putar-Belit?


PULAU PINANG, 23 Jan – Tahun 2018 adalah tahun ke lima bagi proses pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang namun sehingga kini bayang terowong pun tidak nampak. Apa yang kelihatan adalah kos projek terus meningkat sehingga empat kali ganda.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, Ketua Menteri negeri itu Lim Guan Eng sebenarnya sudah ketandusan idea bagi memikirkan plot ‘drama’ untuk dijadikan alasan menjawab persoalan demi persoalan yang semakin kerap ditimbulkan berkaitan isu ini.

Jelas beliau, kerana terlalu berdrama akhirnya pelbagai penipuan dan putar-belit semakin tersingkap.

“Sampai bila Guan Eng mahu main tarik tali dan berputar-putar isu ini? Cuba bayangkan sekiranya isu terowong ini adalah hasil kerja kerajaan persekutuan, saya kira sudah pasti Dap akan mendesak dan menyerang hingga ke tulang hitam sebagaimana yang dilakukan dalam isu 1MDB.

“Tetapi bila diri sendiri yang terperangkap dalam kemelut yang cukup mencurigakan, pelbagai cara digunakan bagi menunjukkan kononnya mereka telus dan jujur. Sekarang ini sudah masuk tahun kelima, kos semakin meningkat tapi mana terowongnya?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Rafizal, lebih membingungkan adalah sehingga kini kerajaan negeri masih gagal menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada Kementerian Kerja Raya.

“ Dulu Guan Eng cakap besar, tapi kini apa sudah jadi… adakah perlu ditubuhkan Suruhanjaya diRaja pula untuk menyiasat apa sebenarnya yang terjadi dengan projek ini?

“Nasihat saya kepada Guan Eng, rakyat tidak bodoh… jadi jangan terus bermain drama. Putar-belit anda sudah tidak laku. Jadi lebih baik letak jawatan,” bidas Rafizal.

Untuk rekod, projek terowong dasar laut di Pulau Pinang sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu telah mencetuskan pelbagai kontroversi, antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri.

Pada 11 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Da, Lim Guan Eng mengatakan tiada sebarang bayaran diberikan kepada pihak kontraktor dalam projek kontroversi terowong dasar laut RM6.34 bilion tetapi mungkin dia lupa iaitu pada 19 Mei 2017, Exco Pulau Pinang Lim Hock Seng ketika menjawab di dalam Sidang DUN berkata, RM209 juta sudah dibayar dalam bentuk tanah kepada kontraktor untuk kos laporan.

Pada 4 Mac 2013 pula, kerajaan Dap Pulau Pinang menafikan bahawa syarikat Konsortium Zenith BUCG yang dianugerahkan projek tersebut tidak bermodal – Untuk melaksanakan projek mega itu.

Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:-

Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.5 juta dan RM 4 bilion masing-masing;

Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 541 juta;

Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.7 juta; dan

Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 1 juta.

Keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta. Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM2 kerana ditubuhkan khas untuk ini (SPV).

Namun selepas empat tahun, SPV berkenaan masih belum melengkapkan laporan RM305 juta dan masih belum memulakan kerja pembinaan.

Laporan kebolehlaksanaan projek tersebut yang sepatutnya sudah siap masih tidak nampak bayang walaupun beratus-ratus juta telah dibayar kepada pihak kontraktor.

Kini, syarikat dari China, China Railway Construction Corporation Ltd. telah menarik diri dari projek ini dan ia diganti dengan syarikat fesyen bernama Voir, dengan saham sebanyak 13.21% turut terlibat di dalam konsortium baru ini. 38.9% sahamnya juga dimiliki di bawah nominasi yang dipegang oleh Kenanga Nominees.

Jumlah modal berbayar syarikat pemegang sahamnya sekarang berkurang menjadi RM70.5 juta berbanding RM4.5 bilion, 4 tahun lepas.

RM70.5 juta nilai modal berbayar ini juga terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah RM220 juta yang telah dibayar oleh kerajaan Dap Pulau Pinang sebagai sebahagian bayaran untuk laporan RM305 juta. 

0 comments:

Post a Comment