Tuesday 16 January 2018

PRU14 : Calon BN Sedang Jalani Tapisan Integriti – Zahid


KUALA LUMPUR, 16 Jan –  Semua calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sedang menjalani tapisan integriti sepenuhnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang salah laku melibatkan integriti, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkatawalaupun negeri-negeri telah menghantar nama-nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), tapisan integriti akan menjadi perkara utama dalam pemilihan calon.

Beliau berkata tapisan itu dilakukan oleh unit khas BN bersama agensi-agensi berkaitan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tahu bahawa soal-soal yang tersangkut dengan integriti melibatkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa atau personaliti atau sahsiah yang bercanggah dengan pelbagai perundangan turut diberikan perhatian.

“Dalam perkara sedemikian, pengundi mahu melihat personaliti seseorang. Bagaimana  seseorang calon (bukan hanya) bersih tetapi mesti kelihatan bersih,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Diskusi Intelektual:Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya nasib calon yang tidak menepati tapisan integriti yang ditetapkan, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, “Kita ucapkan selamat tinggal.”

Beliau berkata bahagian, perhubungan negeri dan pengerusi parti- parti komponen BN telah mengemukakan lebih daripada tiga nama calon yang boleh dijadikan calon gantian bagi mereka yang tidak melepasi tapisan.

“Kita juga mempunyai calon-calon simpanan yang kita lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat untuk mengundi di tempat itu dan daya kemenangan,” katanya.

Selain tapisan integriti terhadap calon, Ahmad Zahid berkata, BN juga sedang melaksanakan tapisan laporan kesihatan calon supaya pilihan raya Kecil tidak berlaku dalam waktu singkat selepas PRU14.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan, teguh dengan prinsip integriti dan menolak rasuah serta tegas menentang salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan ketirisan hasil negara.

Beliau berkata tahap integriti penjawat awam perlu sentiasa dinilai dan dipantau melalui satu kaedah sistematik bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menjadikan pentadbiran dan pengurusan negara yang telus dan berintegriti.

Katanya, usaha Institut Integriti Malaysia dan MIMOS Berhad memperkenalkan instrumen penilaian integriti individu (Profil Integriti Malaysia) bagi menyediakan profil integriti penjawat awam adalah bertepatan  dengan hasrat kerajaan menjadikan integriti sebagai aspirasi utama negara terutama dalam merancang pembangunan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

0 comments:

Post a Comment