Thursday 18 January 2018

Pulau Pinang Tidak Putus Skandal


KUALA LUMPUR, 17 Jan – Program Diskusi Anda Tanya Kita Jawab menerusi UMNO-Online hari ini yang membicarakan topik Agihan Kerusi : Api Dalam Sekam Pakatan Harapan ternyata menyerlahkan bagaimana parahnya kedudukan parti-parti yang berada di dalam pakatan terbabit.

Tiga ahli panel yang diundang khas rata-rata membuat kesimpulan yang tersendiri dan melihat api yang berada di dalam pakatan tersebut terus menjalar dan sukar dikawal malah bakal memusnahkan impian pakatan tersebut untuk menumbangkang kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi Penganalisa Politik, Roslan Latif melihat betapa jelas dan terang bagaimana mereka hari ini bukan hanya tidak tidur sekatil dan penuh dengan mimpi yang lain-lain malah lebih jauh daripada itu apabila tidak tidur sebantal lagi.

Katanya berdasarkan kenyataan antara satu dengan yang lain di kalangan pimpinan mereka dan ditambah pula dengan angan-angan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali untuk pencalonan jawatan perdana menteri, tentunya keadaan lebih sukar.

“Dap pilihan raya lepas 38 kerusi bertanding tetapi kali ini 35…itu belum masuk Sabah dan Sarawak. PKR baru ini pula dapat 51, Parti Amanah Negara (PAN) yang konon hebat nak bertanding kawasan Pas dapat 27 kerusi termasuk enam kerusi yang dibawa lari daripada Pas. Tetapi parti bunga yang baru tubuh dua tiga hari dan mesyuarat tidak betul dapat 52 padahal dia ada satu kerusi Pagoh sahaja.

“Nampak hari ini mereka walaupun tidur sekatil tetapi mimpi lain-lain. Sekarang ini mereka tidak tidur sekatil lagi tetapi satu tidur atas katil dan satu tidur bawah dan saya yakin kalau kita tengok daripada kenyataan Azmin…dah berangan nak jadi PM. Begitu juga kalau kita tengok kenyataan Guan Eng baru-baru ini…api dalam sekam ini nampaknya makin merebak,“ katanya.

Selain Roslan Latif, Diskusi UMNO Online turut menampilkan bersama Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Rafizal Rahim, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, dan En Ahmad Azaruddin Azman, Ikon Mahasiswa Nasional PEMANAS 4.0 juga merangkap Presiden Kelab Wasatiyyah UiTM.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Rahim pula berpandangan desas-desus mengenai ketidakpuasan hati berkenaan soal pembahagian kerusi turut menular di Pulau Pinang.

“Apabila tiba pembahagian kerusi di Pulau Pinang, ambil contoh PPBM yang dilihat didominasi oleh mereka yang kalah dalam pilihan raya sebelum ini dan juga mereka yang kalah di dalam pemilihan UMNO, kali ini nampaknya diangkat menjadi calon.

“Desas-desus di Parlimen Tasek Gelugor…menjadi contoh bagaimana perpecahan sesama mereka untuk menjadi calon,“ ujarnya.

Katanya lagi rakyat mula sedar dan tahu siapa sebenarnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini.

“Gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz yang sebelum ini dicanang-canang hanya wayang…dia nak tunjuk dia bukan rasis. Masa itu Pas pun berkawan dengan dia. Setelah dua penggal orang Melayu dan juga rakyat mula sedar dan nampak serta cukup jelas perangai dia dengan pelbagai skandal di negeri di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak putus skandal dan kurang sebulan ada tanah runtuh…kemudian banjir dan kemudiannya merayu…kemudiannya segala bantuan turun dengan Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri pun turun…tiba-tiba keluar kenyataan kerajaan pusat tidak bantu. Inilah perangai Guan Eng dan sebenarnya bagus juga beliau berbuat demikian… rakyat Pulau Pinang boleh nilai siapa sebenarnya beliau,“ katanya.

Ikon Mahasiswa Nasional PEMANAS 4.0, Ahmad Azaruddin Azman pula berpandangan atas kertas memang menarik cara pembahagian kerusi oleh pakatan harapan.

“Saya tengok kerusi yang dibahagikan antara mereka yang bermain di media sosial macam yes.. PPBM dan PKR akan pegang dan dilihat dominan di dalam pakatan harapan. Sebab apa..kerusi yang paling banyak dipegang untuk dipertandingkan adalah PPBM dan PKR, ketiganya Dap dan keempatnya PAN.

“Tetapi kalau dilihat betul-betul cerdiknya Dap ini mereka bertanding 35 kawasan dan kerusi asal mereka hari ini adalah 30 dan hanya pertambahan lima kerusi lain dan ini merupaka kubu mereka. Kalau tengok PPBM pula, mereka bertanding 52 kerusi dan hanya satu kerusi sahaja milik asal mereka iaitu di Pagoh.

“Secara peratusannya satu kerusi di Pagoh bahagi 52 hanya berapa peratus sahaja…kalau kita lihat PKR pula, 51 dan kawasan yang dia sekarang adalah 25 kawasan dan jika dilihat peratusannya adalah sebanyak 49 peratus. PAN…6 kerusi daripada 27 yang ditandingi…22 peratus termasuk enam kerusi asal…itu pun jentera asal mereka adalah Pas. Jadi enam kerusi tidak solid PAN punya. Mungkin orang kata kita ini retorik sembang sahaja takut Dap dominan,“ ujarnya.

Katanya lagi yang juga Presiden Kelab Wasatiyyah UiTM, sebagai anak muda harapan mereka adalah untuk melihat sebuah kerajaan yang membela seluruh rakyat.

“Yang menjadi kerisauan anak muda adalah untuk menguruskan negara bukanlah perkara yang mudah dan ianya adalah yang cukup penting. Kami tidak mahu hanya perdana menteri sementara yang tentunya menyukarkan dalam pembuatan dasar.

“Urus tadbir negara bukan perkara main-main. Perancangan yang tidak teliti menjadi kerisauan…bertukar ganti apa kesudahannya? Kita mahu perancangan yang ke depan dan sama-sama timbanglah mana yang elok,“ katanya.

0 comments:

Post a Comment