KUALA LUMPUR – Disebalik rungutan rakyat mengenai masalah kos sara hidup, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ramai tidak sedar kerajaan masih meneruskan subsidi tidak langsung bagi membantu mereka terutamanya dari segi kesihatan dan pendidikan.
Perdana menteri berkata rakyat masih boleh menikmati bayaran serendah RM1 untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan manakala pendidikan di peringkat tadika, sekolah rendah dan menengah percuma.
Kerajaan, katanya, menampung 90 peratus perbelanjaan untuk belajar di universiti awam.
“Ini adalah dikatakan indirect subsidi tetapi ramai orang tidak sedar,” katanya dalam program wawancara “Bicara 4 Mata” yang disiarkan portal theRakyat, RTM dan TV3 bersempena pelancaran portal itu di sini malam ini oleh beliau.
theRakyat merupakan portal rasmi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Najib ditemu ramah oleh pengacara Datuk Aznil Nawawi.
“….di UTC (Pusat Transformasi Bandar) ada Klinik Rakyat 1Malaysia, ada orang betulkan gigi. Bayarannya RM1. Kalau dia pergi swasta dia kena beratus ringgit,” kata Najib.
“Ada seorang itu, dia menghidap penyakit diabetes… sebeban ubatnya. Saya tanya doktor berapa ubat, doktor kata percuma sebab rawatan dan jumpa doktor di klinik kerajaan bayar RM1 sahaja. Ubat-ubatan percuma, jadi tengok banyak subsidi yang kita beri kepada rakyat,” katanya.
Bukan sekadar kesihatan dan pendidikan sahaja, kerajaan juga, kata Najib, meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dengan memberikan subsidi dalam memastikan rakyat miskinpun boleh memiliki rumah.
“Rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) kita umpamanya cukup banyak subsidi. Sebab bayaran kita (pembeli) RM35,000 sedangkan kos sebenarnya sampai RM140,000. Maknanya satu unit lebih RM100,000 yang merupakan subsidi kerajaan”.
Najib menjelaskan pentadbirannya mengurangkan subsidi pukal bagi barangan, contohnya subsidi minyak, kerana ia lebih menguntungkan golongan berkereta besar berbanding golongan yang menggunakan motosikal kecil.
Najib berkata ia digantikan dengan subsidi bersasar, contohnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Bila buat BR1M kita lebih targeted (bersasar), lebih fokus kepada golongan yang memerlukan. jadi kita hapuskan subsidi minyak, hampir tidak ada.
“Kita katakan rasionalisasi subsidi dan hasil yang kita jimat, kita pindah kepada BR1M. BR1M terus kepada orang yang memerlukan bantuan. Jadi apa salahnya. Tidak ada salahnya,” katanya apabila ditanya mengenai tanggapan bahawa BR1M dilihat sebagai “gula-gula” dan tidak berkesan.
Katanya, BR1M juga masih lagi dikehendaki dan diterima baik oleh rakyat. Buktinya beliau berkata ialah apabila beliau melancarkan UTC di Seremban baru-baru ini dan beliau telah mendapati ramai orang telah berkunjung ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di situ untuk menyemak sama ada nama mereka tersenarai sebagai penerima BR1M atau tidak.
“Jadi kalau mereka tak hendak BR1M, takkan mereka ke LDHN. Lagipun kita sudah membuat survey dan banyak orang suka BR1M.
“Lagipun kalau tak hendak BR1M, janganlah ambil BR1M. Kalau tak suka pada BR1M, kalau kutuk BR1M, janganlah ambil BR1M,” kata beliau.
Menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Perdana menteri menjelaskan kutipan GST digunakan untuk pelbagai program untuk membantu rakyat, seperti BR1M, bantuan kepada nelayan, pesawah padi serta perbelanjaan kesihatan dan pendidikan.
Mengambil contoh, beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan RM24 bilion untuk kesihatan tahun lalu.
“Kutipan kita cuma RM600 juta sahaja. Jadi perbezaan itu kita tampung melalui pendapatan GST,” katanya.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak sanggup mengorbankan masa depan negara dengan langkah-langkah populis semata-mata, kata Najib.
Menzahirkan rasa optimisnya terhadap masa depan negara, beliau berkata, kerajaan yang dipimpinnya merupakan sebuah kerajaan yang bukan hanya memikirkan keadaan semasa tetapi juga masa depan rakyat dan negara.
“Kerajaan kita adalah kerajaan yang bertanggungjawab, yang memikirkan kehendak dan keperluan rakyat hari ini dan juga akan menjamin masa depan yang lebih baik lagi. Insya-Allah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment