Saturday 20 January 2018

Sahabat Puteri; Azalea 2018 Bukti Anak Muda Tetap Bersama BN


KUALA LUMPUR, 20 Jan – Taman Tasik Perdana dibanjiri hampir enam ribu ahli Puteri UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pelancaran Sahabat Puteri BN yang diberi nama Azalea 2018.

Program yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ini adalah bertujuan memperlihatkan kesepakatan dan kerjasama erat bukan sahaja antara Puteri komponen tetapi juga bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mahasiswa dan golongan wanita muda dalam memberi sokongan kepada BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang sudah semakin hampir.

Dalam ucapan perasmian, Datuk Seri Najib memberikan tiga pesanan utama kepada semua ahli Puteri.

“Pertama, Puteri harus bergerak dan berjuang dalam satu barisan yang padu lagi kukuh dan mengamalkan budaya kerja sepasukan, kita jangan bergerak dalam kelompok yang kecil dan dengan ‘geng’ kita saja.

“Kedua, kita mesti berjuang dengan hati dan niat yang ikhlas kepada parti dan negara sebab inilah dia yang kita hendak iaitu idealisme generasi muda. Generasi muda kena ada idealisme dalam perjuangan dan tidak tercemar dengan kepentingan ‘material’ dan kepentingan diri sahaja.

“Ketiga, berjuanglah dengan penuh keyakinan bahawa kita berjuang untuk bina masa depan dan memenuhi harapan rakyat, kita adalah kumpulan yang boleh membina masa depan dan memenuhi harapan rakyat, kita sudah ada ‘track record’ cemerlang, kita bina negara yang aman dan stabil, kita membawa banyak kemajuan dan tranformasi dan kita boleh menjaga keselamatan negara,” ujar beliau.

Tambah Najib, inilah yang membezakan BN dengan pembangkang dan rakyat tidak boleh menaruh harapan kepada pakatan harapan yang mana mereka adalah ‘untested coalition’,’ tidak senang hati’ dan curiga antara satu sama lain.

Turut hadir ke program tersebut, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta ketua-ketua puteri parti komponen.

0 comments:

Post a Comment