Wednesday 24 January 2018

Saya Tak ‘Lepas Tangan’ Isu 1MDB, Siasatan Komprehensif Di Lakukan


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan beliau tidak ‘lepas tangan’ dalam menangani isu kontroversi berkaitan 1MDB.

Ini kerana beliau menyedari 1MDB digunakan dalam kempen sabotaj untuk kepentingan politik sesetengah pihak kononnya ekonomi negara ini teruk.

“Sekarang, saya tak ‘melupakan’ isu ini (1MDB). Memang ada kesilapan dalam syarikat ini dan kecuaian dalam tata kelolanya,” ujarnya dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2018 hari ini.

Menurut Najib, atas dasar ambil berat, beliau mengarahkan satu siasatan menyeluruh dan komprehensif dalam sejarah di dunia korporat Malaysia berhubung kes 1MDB yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan Jawantakuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Keputusan mereka diambilkira dan lembaga pengarah dihentikan, pasukan pengurusan ditukar dan operasinya dinilai semula,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu katanya, aset 1MDB juga dikenakan langkah rasionalisasi dan mengambil langkah agresif mengurangkan beban hutang sebanyak mungkin.

Beliau juga memastikan syarikat yang sama menumpukan dua aset bernilainya, Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kekal sebagai perancangan pelaburan menarik kepada pemegang saham dan pelaburnya.

Selain mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepada 1MDB, katanya, kerajaan juga mengambil iktibar daripada kesilapan pemerintahan yang sebelum ini.

“Dalam kita merancang transformasi ekonomi Malaysia, kita berdepan dengan banyak isu legasi,” ujarnya.

Menurut Najib, beberapa program pembangunan negara di bawah bekas seorang pemimpin sebelum ini membawa beban yang tidak perlu kepada rakyat dalam bentuk sekumpulan kroni kapitalis meraih kekayaan daripadanya.

Menurutnya, kerajaan berikrar yang perkara ini akan dihentikan dan ia mengambil iktibar daripada kesilapan lampau dalam merancang transformasi ekonomi Malaysia, sambil mendepani banyak isu legasi sepanjang usaha itu.

Mengambil contoh pengangkutan awam, beliau berkata perkara itu telah diabaikan berdekad lamanya menyebabkan ia menjadi tidak keruan, dengan pemilik dan sistem yang berbeza, dan sudah tentunya tidak ada integrasi.

“Ketaksuban seseorang terhadap idea untuk menghasilkan kereta nasional – yang kini cuba dipulihkan di bawah pemilikan bersama antarabangsa – menjadikan Malaysia ketinggalan dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien.

“Ini merupakan halangan serius terhadap cita-cita kita untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dan bagi Kuala Lumpur menjadi ibu kota bertaraf dunia. Oleh itu kita telah mengambil langkah segera untuk membetulkan keadaan dan menyatakan bahawa pengangkutan awam menjadi keutamaan penting bagi kerajaan,” kata Najib.

0 comments:

Post a Comment