Wednesday 3 January 2018

Skuad Sayang Wanita UMNO Rai Ibu Bayi Tahun Baharu


PULAU PINANG – Kira-kira 150 golongan ibu yang menyambut kelahiran bayi menjelang tahun baharu teruja selepas diraikan Skuad Sayang Wanita UMNO negeri ini di sini semalam.

Mereka termasuk dua ibu yang menyambut bayi tahun baharu 2018 yang diraikan kira-kira 30 ahli Skuad Sayang Wanita UMNO berkenaan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norliza Abdul Rahim, program itu merupakan acara tahunan skuad berkenaan dalam mendekati golongan ibu pada hari-hari istimewa seperti menjelang tahun baharu.

Ujar beliau, menerusi program itu, pihaknya turut meng­hulurkan cenderahati berupa bara­ngan keperluan asas bayi kepada golongan ibu yang berada di wad bersalin.

Tahun ini, ujarnya, Skuad Sa­yang Wanita UMNO negeri menziarahi kira-kira 40 ibu di wad bersalin HPP serta 70 ibu Hospital Seberang Jaya yang dikurniakan cahaya mata sejak beberapa hari lalu serta yang sedang me­nunggu kelahiran masing-masing.

“Di HPP pagi ini misalnya, kita turut berpeluang melawat dua bayi yang dilahirkan sempena tahun baharu 2018 dan menyampai cenderahati.

“Kita berharap sumbangan ini dapat memberi kegembiraan kepada golongan ibu berkenaan selain salah satu cara kita mendekati golongan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Sementara itu, bagi seorang penerima, Fazilawati Mat Saad, 34, berkata, dia teruja dikurniakan cahaya mata pada 1 Januari 2018 yang disifatkan sebagai tarikh istimewa.

Katanya, dia tidak menyangka anak bongsu daripada tiga beradik itu akan dilahirkan tanggal 1 Januari selepas doktor menjangkakan kelahiran itu pada 4 Januari ini.

“Saya bersyukur dianugerah­kan seorang lagi bayi lelaki kira-kira pukul 1.41 pagi ini dan berharap bayi saya ini sihat dan membesar dengan sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah HPP, Datuk Dr. Norshida Ismail berkata, seramai empat bayi tahun baharu dilahirkan di hospital berke­naan semalam membabitkan masing-masing dua warga tempatan dan dua warga asing.

“Kesemuanya merupakan bayi lelaki dan berada dalam keadaan sihat,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment