Friday 12 January 2018

Terowong: 12 Saksi Di Ambil Keterangan


PULAU PINANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan 12 individu hari ini bagi membantu siasatan penyelewe­ngan projek terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, kesemua  mereka merupakan saksi dari pejabat-pejabat kerajaan negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pe­ngarah urusan sebuah syarikat.

Ujarnya, kenyataan kesemua individu terbabit dirakam di beberapa lokasi sekitar negeri ini dan ibu negara termasuk agensi kerajaan serta syarikat swasta.

“Setakat ini tidak ada tangkapan lain dibuat dan pasukan penyiasat dalam proses merakam percakapan saksi-saksi untuk memperoleh lebih maklumat berhubung kejadian tersebut namun saya tidak menolak kemungkinan ada tangkapan lain selepas kita memperoleh maklumat baru selepas selesai proses rakaman percakapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Wong Hon Wai berkata, sehingga pukul 6 petang, Ketua Menteri masih berada di pejabatnya di Tingkat 28 dan tiada pegawai SPRM hadir pada hari ini.

Terdahulu, media dihalang untuk naik ke pejabat Guan Eng susulan penyebaran maklumat bahawa beliau akan ditahan bagi membantu siasatan kes ber­kenaan.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan pihak SPRM kini dalam proses mengkaji dokumen-doku­men berkaitan kon­trak perjanjian pelaksanaan kajian terowong tersebut dan turut ke PTG negeri hari ini untuk mengambil dokumen tambahan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Ujar sumber, dokumen-dokumen tersebut perlu dikaji dengan teliti kerana perjanjian itu dilihat amat me­ragukan dan kajian mendapati kebolehlaksanaan projek mega itu tidak sampai RM305 juta se­perti yang diumumkan.

“Nilai kajian itu berkemungkinan tidak selari dengan nilai pertukaran tanah yang dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik untuk membayar kajian kebolehlaksanaan itu. Kemungkinan kerajaan negeri telah membuat bayaran jauh berbeza de­ngan nilai kajian itu sebenarnya. 

“Perkara utama yang sedang dilihat adalah berkaitan pertukaran tanah yang telah ditetapkan dalam perjanjian itu dan SPRM mahu melihat pelaksanaan perkara tersebut mengikut prosedur ditetapkan atau tidak.

“JKR telah menetapkan nilai untuk sesuatu kajian tetapi apabila pembayaran yang dibuat adalah jauh lebih tinggi dari nilai sebenarnya, maka timbul ke­sangsian wujudnya elemen penyelewengan,” katanya. - utusan online

0 comments:

Post a Comment