Friday 19 January 2018

Tiada Sebab Mahathir Terlalu Marahkan Najib Melainkan Ada Agenda Tersirat – Nazifuddin Najib


KUALA LUMPUR, 19 Jan – Generasi ketiga legasi Perdana Menteri (PM) Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak menyatakan kekecewaan atas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini sanggup bersekongkol dengan parti Dap untuk menjatuhkan PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nazifuddin Najib Tun Razak dalam catatan di laman ‘Facebook’nya, secara peribadi merasa amat kesal kerana Tun Mahathir sanggup membelakangkan segala prinsip dan pencapaian yang dilakukannya selama 22 tahun menjadi PM dan juga sebagai Presiden UMNO.

“Tun Mahathir dilihat sekarang sehingga sanggup bersekongkol dengan Dap semata-mata untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib.

“Realitinya sekarang, Tun Mahathir sanggup menggadai maruah untuk menjadi calon PM pakatan pembangkang yang didominasi oleh Dap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Tun Dr. Siti Hasmah yang disiarkan dalam portal MalaysiaKini pada hari Rabu 17 Januari 2018 dengan tajuk berita “Siti Hasmah speaks fondly of Najib’s father” menerusi temu bual yang disiarkan secara langsung di laman ‘Facebook’ Mahathir.

“Sebagai cucu dan generasi ketiga legasi Tun Abdul Razak, secara peribadi saya amat menghargai kenyataan Tun Siti Hasmah yang bernada “sayang” mengenai PM Malaysia kedua itu.

“Dari kehebatan dasar Tun Razak dan penderitaan kerana penyakit yang tidak didedahkan kepada umum hingga kepada hubungan baik Tun Razak dan Tun Dr. Mahathir disebut penuh cermat oleh Tun Siti Hasmah,” jelasnya lagi.

Nazifuddin juga tertarik dengan pengakuan Tun Siti Hasmah bahawa suaminya Tun Mahathir tidak mungkin akan menjadi PM keempat jika tidak kerana Tun Razak yang telah mempersiapkannya.

“Ya, itu benar kerana Tun Razak yang bertanggungjawab membawa Tun Mahathir kembali menyertai UMNO pada tahun 1971 setelah disingkirkan keahlian UMNO pada tahun 1969 oleh Tunku Abdul Rahman.

“Namun sejak kebelakangan ini; tingkah laku, perbuatan dan kata-kata yang Tun Mahathir lemparkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak amat mendukacitakan, keterlaluan dan menyisihkan prinsip etika seorang mantan Perdana Menteri,” ujarnya.

Menurutnya lagi, jika difikirkan secara waras, perbezaan pendapat dalam politik memang lumrah apatah lagi dalam urusan tadbir urus negara yang Datuk Seri Najib warisi dari zaman pemerintahan Tun Mahathir.

“Dalam konteks ini, sudah tentu Datuk Seri Najib melalui zaman yang berbeza berbanding zaman Tun Mahathir.

“Kehendak dan kemahuan rakyat juga berbeza mengikut peredaran waktu yang cukup pantas. Terutamanya apabila kita kini hidup dalam era kemajuan bidang teknologi dan ekonomi digital yang berkembang pesat,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan tidak ada sebab untuk Tun Mahathir terlalu marah terhadap Datuk Seri Najib melainkan jika terselit agenda tersirat sebagaimana yang disebut-sebut oleh sebahagian besar rakyat yang amat mengenali Tun Mahathir.

“Jika Tun Mahathir benar-benar menghargai dan mengenang jasa Tun Razak, lindungilah anakandanya Datuk Seri Najib sepertimana Datuk Seri Najib melindungi Tun Mahathir dalam mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 hingga membawa kepada krisis politik di mana UMNO telah diharamkan pada tahun 1988.

“Bentengilah Datuk Seri Najib sebagaimana beliau membentengi Tun Mahathir dalam krisis politik negara pada tahun 1998 sehingga mencetuskan gerakkan reformasi menjelang PRU10 pada tahun 1999,” ujarnya.

Nazifuddin turut berkata sekiranya Tun Mahathir benar-benar menyayangi Tun Razak, biarlah hidup umpama Tun Razak: bersama UMNO hingga ke nafas yang terakhir.

“Tun Razak bawa Tun Mahathir kembali ke pangkuan UMNO untuk mengukuhkan, mempertahankan dan menjulang UMNO menerajui Malaysia di persada dunia. Bukan untuk menghancurkan UMNO.

“Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan; iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan keempat menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

0 comments:

Post a Comment