Tuesday, 9 January 2018

Ultra Fest Kerajaan Negeri Lepas Tangan ?


GEORGETOWN - Lebih 50 peniaga mendakwa ditipu seorang lelaki dari sebuah syarikat swasta yang bertindak sebagai penganjur utama dalam sebuah festival usahawan, Ultra Fest yang diadakan di Stadium Batu Kawan, Disember lalu.

Peniaga itu mendakwa, program mega itu turut mendapat sokongan dan kerjasama dari Kerajaan Pulau Pinang di bawah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Wakil peniaga, Mohd Sukharai Hassan, 36, berkata, kesemua peniaga yang mendaftar untuk menjalankan perniagaan selama tiga hari bermula 29 Disember itu sudah membayar RM1,200 untuk bayaran sewaan khemah.

Menurutnya, kesemua peniaga yang kebanyakannya dari negeri lain dijanjikan pelbagai program menarik yang diaturkan sebagai tarikan kepada lebih 150,000 pengunjung ke festival terbabit.

Namun, janji tinggal janji apabila kesemua program itu tidak dijalankan malah kesemua peniaga terputus bekalan elektrik pada pagi hari kedua mereka menjalankan perniagaan.

“Pada hari kedua, kira-kira jam 11 pagi, bekalan elektrik terputus dan menyebabkan peniaga sukar menjalankan perniagaan. Kami rasa seperti disabotaj. Apa yang kami kesalkan, melalui program ini mendapat kerjasama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang dan juga kerajaan negeri.

“Kami sekarang buntu kerana bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian lebih RM20,000 kerana tidak ramai pengunjung datang ke festival itu, malah penganjur juga melarikan diri. Tambahan pula, AMK Pulau Pinang dan kerajaan negeri juga dilihat lepas tangan dengan masalah ini,” katanya kepada media semalam.

Tambah peniaga makanan Thailand itu, beberapa wakil peniaga berusaha untuk berbincang dengan pihak kerajaan negeri dan AMK Pulau Pinang namun tidak berjaya.

“Perkara ini kita dah suarakan kepada kerajaan negeri tetapi depa kata tak boleh bagi jawapan sekarang.

“Pada mulanya kerajaan negeri nafi terlibat dalam festival ini tapi bila kami check (periksa) balik, terbukti kerajaan negeri yang support (sokong) kuat festival ini. Kami telah melabur wang yang banyak sebab yakin apabila diberitahu festival ini anjuran kerajaan negeri tetapi bila jadi macam ni, depa nafi pula,” katanya.

Difahamkan, lebih 50 laporan polis dibuat ke atas penganjuran festival tersebut manakala empat laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, lebih 20 peniaga hadir di Komtar untuk menyerahkan memorandum meminta penjelasan daripada Mohd Rashid berhubung perkara tersebut.

Memorandum itu diserahkan Mohd Sukharai kepada Setiausaha Sulit TKM I, Zulfahmi Omar.

Mohon saguhati

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab kerana beberapa bukti menunjukkan program tersebut mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, memorandum yang ditandatangani peniaga terlibat itu meminta agar diberi saguhati bagi mendapat semula modal pulangan mereka.

“Pemuda Umno Pulau Pinang bersimpati dengan peniaga ini yang mengalami kerugian malah lebih teruk, ada yang sanggup berhutang untuk menyertai festival ini.

“Kita ada bukti seperti surat rasmi yang menggunakan ‘letter head’ pejabat timbalan ketua menteri dalam permohonan pengecualian bayaran tapak dan permohonan permit daripada polis untuk syarikat swasta tersebut dan banyak lagi. Oleh itu, Mohd Rashid tak boleh kata program ini anjuran syarikat swasta kerana kita ada bukti,” katanya.

Tiada kaitan  kerajaan negeri

Sementara itu, Mohd Rashid yang dihubungi berkata, penganjuran festival itu dibuat sebuah syarikat swasta dan langsung tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Pulau Pinang.

Menurutnya, kerajaan negeri terperangkap dengan kelicikan lelaki tersebut yang melarikan diri selepas mengambil wang daripada peniaga.

Jelasnya, kesemua peniaga terlibat membuat perjanjian dengan syarikat swasta tersebut dan bukannya dengan kerajaan negeri.

“Kontrak ditandatangani antara peniaga dengan syarikat tersebut namun apabila penganjur ingin mengurangkan kos penyewaan tapak, mereka meminta bantuan kerajaan negeri melalui AMK Pulau Pinang. Atas dasar keprihatinan untuk membantu peniaga, kita menolong mereka dan berjaya mengurangkan kos penyewaan sebanyak RM57,000.

“Apabila ingin membuat pengurangan kos, mestilah dalam ayat-ayat permohonan itu disertakan sebab-sebabnya. Oleh itu, kita buat perakuan bahawa program itu ada kerjasama dengan kerajaan negeri. Soal dakwaan program ini dibawa ke mesyuarat Exco, itu tidak benar,” katanya.

Mohd Rashid berkata, pihaknya telah membuat laporan polis pada 1 Januari lalu dan akan membuat perjumpaan dengan wakil peniaga dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada mengenali lelaki yang mewakili syarikat swasta selaku penganjur, Mohd Rashid berkata, beliau tidak mengenali lelaki berkenaan malah tidak tahu tentang enam kes penipuan yang dilakukannya sebelum ini. - Sinar

0 comments:

Post a Comment