Friday 12 January 2018

UMNO Bantu Baiki PASTI


KEPALA BATAS: UMNO Kepala Batas sedia membantu membaiki Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kampung Paya Keladi Hujung di sini, yang rosak akibat dilanda ribut petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, berkata pihaknya bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang sudah membuat penilaian bagi mengenalpasti kos pembaikan yang diperlukan pusat didikan awal itu.

Katanya, bantuan itu disalurkan atas dasar prihatin pihaknya terhadap nasib kanak-kanak yang mendapat didikan di pusat berkenaan tanpa mengira fahaman politik.

"Walaupun tadika ini turut dijadikan Pusat Operasi PAS kawasan, kita sedia membantu membaiki semua kerosakan yang dialami demi keselesaan anak-anak yang belajar di sini.

"Kita sudah melaksanakan proses penilaian dan peruntukan bagi kerja baik pulih dijangka dapat disalurkan dalam tempoh terdekat," katanya selepas melawat rumah penduduk di kampung berkenaan hari ini, yang turut terjejas akibat ribut.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam, lebih 10 rumah dan gerai makanan di kawasan Pinang Tunggal mengalami kerosakan dan bumbung kediaman diterbangkan angin kencang ketika cuaca ribut.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Bukhori Ghazali berkata, sesi pembelajaran lebih 70 murid di PASTI Kampung Paya Keladi Hujung terjejas akibat kerosakan yang dialami bangunan utamanya.

"Kita terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran sehingga Isnin depan, memandangkan keadaan bangunan yang menempatkan kelas murid terjejas selain kebanyakan peralatan rosak teruk.

"Proses baik pulih dijangka mengambil masa yang lama dan kini kita sedang memikirkan kemungkinan memasang khemah sementara atau menumpang bangunan lain bagi membolehkan murid belajar seperti biasa," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment