Wednesday 3 January 2018

UMNO Permatang Pauh Tidak Gentar Berdepan Nurul Izzah


BUKIT MERTAJAM: UMNO Permatang Pauh mengakui tidak gentar dengan stratergi PKR yang didakwa akan meletakkan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata pihaknya sedia untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja calon yang akan bertanding di kerusi berkenaan kerana sedar Permatang Pauh adalah kerusi panas yang sering menjadi tumpuan setiap kali pilihan raya.

"Justeru, kita sudah melaksanakan gerak kerja yang lebih komprehensif bagi membuktikan banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa UMNO di Permatang Pauh berbanding peranan Ahli Parlimennya sendiri.

"Kita tidak pernah berhenti bekerja untuk rakyat. Malah, sebaik sahaja PRU-13 selesai persiapan untuk berdepan dengan PRU-14 sudah lama bermula dan kita berjaya menambahbaik kekurangan serta memperbaiki kesilapan lalu," katanya ketika ditemui selepas Program Sumbangan Alat Tulis di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Baharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata, sepanjang tempoh lima tahun membuat persiapan, pihaknya melihat banyak perubahan dibawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh dan apa yang penting ia diterima rakyat kawasan itu.

Jelasnya, beliau tidak pasti sama ada benar Nurul Izzah akan bertanding di Permatang Pauh atau sebaliknya, namun petunjuk sudah mula nampak apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kerap pulang ke kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa laluan untuk PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh tidak lagi mudah apatah lagi selepas berlaku kecelaruan selepas PAS mengundur diri dari pakatan pembangkang," katanya.

Baru-baru ini sebuah portal berita melaporkan Nurul Izzah dikatakan bakal bertanding di Permatang Pauh pada PRU Ke-14, manakala ibunya yang juga penyandang kerusi parlimen itu, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berpindah ke kawasan parlimen di Lembah Klang.

Menurut portal berkenaan, sumber dalaman PKR memberitahu yang parti itu menjangka Nurul Izzah tidak akan mempertahankan kerusinya di Lembah Pantai, yang diwakilinya sejak 2008 kerana mendakwa berlakunya manipulasi demografi pengundi yang agresif di situ.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya yakin strategi PKR meletakkan Nurul Izzah sebagai calon di Permatang Pauh tidak akan memberi tamparan besar kepada UMNO dan juga pengundi di kawasan terbabit. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment