Friday 5 January 2018

UMNO P.Pinang Mahu Tun Mahathir Berhenti Kelirukan Rakyat


Pulau Pinang - Datuk Musa Sheikh Fadzir selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang yang turut bersama-sama hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi membuat laporan polis terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengeluarkan kenyataan untuk menjatuhkan Perdana Menteri dengan cara yang tidak demokratik semalam melahirkan rasa kecewanya terhadap bekas pemimpin UMNO tersebut.

Beliau yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang turut mendesak agar Tun Mahathir berhenti daripada terus mengelirukan rakyat dengan tuduhan dan adu domba yang telah dilakukan sehingga mengkucar-kacirkan negara.

Musa berkata Tun Mahathir telah menjadi Perdana Menteri lebih daripada 22 tahun dan sudah tentulah dasar-dasar dan keputusan dibuat mengikut cara pemimpin tersebut.

Begitu juga selepas Tun Mahathir, Tun Abdullah Badawi punya pendekatan dan cara tersendiri yang kemudiannya diganti oleh  Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut memimpin dengan cara dan corak kepimpinan tersendiri.

Tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang memimpin negara selama ini yang mahu melihat negara bangkrap apatah lagi dihancurkan di bawah pentadbiran mereka kerana semua pemimpin-pemimpin tersebut mendapat sokongan dan dokongan yang jitu daripada seluruh ahli UMNO dan Barisan Nasional termasuklah rakyat.

Justeru itu beliau mempersoalkan atas dasar apa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri selama tempoh 22 tahun. 

"Tun jadi Perdana Menteri kerana apa ? 

"Kerana Tun adalah Presiden UMNO, Tun adalah Pengerusi Barisan Nasional jadi Tun masa tu menjadi Perdana Menteri kerana UMNO kerana Barisan Nasional.

"Jadi hari ini Tun patut bersyukur, Tun patut balas budi UMNO,  hari ini apa yang Tun buat nak menghancurkan UMNO ! Kalau Tun marah dekat nyamuk,  jangan bakar kelambu ini bukan bakar kelambu rumah pun Tun nak bakar, katanya. 

"Jadi saya nak mintalah kepada Tun, tolonglah Tun ingatlah apa yang Tun dapat pengorbanan daripada orang-orang UMNO, pengorbanan daripada penyokong-penyokong Barisan Nasional meletak Tun di tempat yang paling tinggi dan Tun lepas menjadi mantan digelar negarawan takkanlah Tun nak buat kerja-kerja yang macam ni ? soalnya lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang itu berkata sepatutnya Tun Mahathir pada hari ini membantu UMNO selain memperkuatkan parti itu bukan berusaha untuk menghancurkannya.

Tambahnya orang-orang UMNO juga ada perasaan, Tun Mahathir bukan sahaja tidak membantu UMNO tetapi telah menghina orang-orang UMNO dengan tuduhan 'makan dedak' seolah-olah orang-orang UMNO tidak punya perasaan dan maruah.

"Hari ini Tun tak mau bantu, Tun hina pula orang-orang umno, Tun tuduh label makan dedak, apa kami tak ada perasaan ka ? kami tak ada maruah ka ? maruah kami ni macam mana ?

Beliau turut mengingatkan kepada Tun Mahathir pada ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO bahawa orang-orang UMNO di Pulau Pinang dan juga penyokong Barisan Nasional brdiri teguh di belakang kepimpinan Tun Mahathir malah yakin dan setia dengan kepimpinan dan parti walaupun pada satu ketika UMNO Pulau Pinang bergolak akibat daripada pemecatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang pada ketika itu disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Tun penah memecat Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai  Timbalan Presiden dan juga sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang, bayangkan kami di Pulau Pinang pengerusi perhubungan negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Anwar Ibrahim orang yang rapat dengan kami, pemimpin kami di Pulau Pinang tapi kenapa ? 

"Kerana Tun kata kalau sayang kepada parti, setia kepada parti bermakna kita kena buat satu keputusan.Kami yakin, kami percaya kepada Tun sebab itu kami sanggup korbankan segala-galanya, kami sanggup korbankan untuk gugurkan ikut apa yang Tun kata. 

"Tapi hari ni apa yang Tun kata, apa yang Tun buat ? Tun buat lain dulu hari ni Tun buat cakap lain pula !

"Adakah pendirian Tun ini cakap cakap tak serupa bikin ? Mana pendirian Tun selama ini ? 

"Jika dulu Tun cakap lain sekarang Tun cakap lain, kelirukan rakyat Tun bagi kucar-kacirkan negara ! 

"Jadi apakah pendirian Tun semasa nak pecat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak betul ?

"Saya nak tanya Tun balik ?

"Jadi saya nak mintalah kepada Tun, sudahlah sudahlah jangan lagi kelirukan rakyat, sampai masanya Tun jadi Perdana Menteri semua orang hormat, semua orang sayang kepada Tun tapi hari ini Tun buat kepada kami, Tun hina UMNO, Tun hina Barisan Nasional, Tun rasa macam mana perasaan kami hari ini ? 

"Kami begitu kecewa sekali dengan apa yang Tun buat."

Mewakili UMNO negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menegaskan bahawa Tun Mahathir seharusnya tidak bertindak seperti mana yang berlaku pada hari ini sebaliknya bekas pemimpin UMNO itu harus menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam masa yang sama beliau mendesak supaya Tun Mahathir berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang sedang beliau lakukan pada hari ini dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan parti dan kerajaan mana yang mereka mahukan untuk mentadbir negara.

Rakyat lebih bijak untuk memilih dan Tun Mahathir perlu hentikan fitnah, adu domba serta usaha menjatuhkan pemimpin dengan cara yang tidak demokratik kerana kesannya amat besar sehingga mengkucar-kacirkan negara.



0 comments:

Post a Comment